Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani yakin bakat anak untuk konsert malam ini

Anak Ahmad Dhani diumumkan bakal menggantikan posisi bapanya dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel malam ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tetapi mungkin ramai antara para Baladewa - gelaran diberikan untuk peminat Dewa 19 - tidak mengetahui alasan utama mengapa nama Dul Jaelani dipetik bagi menggantikan Ahmad Dhani.

Penganjur Nizra Production, Nik Iruwan Nik Izani, berkata Ahmad Dhani sendiri mengizinkan anaknya menjadi pengganti.

Malah Nik Iruwan memberikan kepastian bahawa Dul Jaelani adalah individu yang memang selayaknya menggantikan Ahmad Dhani sebagai pemain keyboard pada konsert pemuzik dari Indonesia itu.

“Tak akan sama tanpa Ahmad Dhani, kerana dia ada bakat istimewa tersendiri. Tetapi Ahmad Dhani sendiri nak Dul berada di situ kerana percaya dengan bakat anaknya.

“Dia memaklumkan kepada kami sebaik menerima keputusan mahkamah. Hanya anak dia boleh menggantikan dia,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi.

Dewa 19 pada awalnya dijadual mengadakan persembahan dengan membariskan ketiga-tiga vokalis mereka iaitu Ahmad Dhani, Once Mekel dan Ari Lasso, serta beberapa pemuzik asal kumpulan berkenaan.

Bersemangat beri yang terbaik

Namun, pada 28 Jan lalu, peminat dikejutkan dengan keputusan mahkamah Jakarta Selatan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Ahmad Dhani kerana menyebarkan kata-kata kebencian di media sosial.

Untuk nota, ini adalah kali pertama Dul Jaelani beraksi sepentas dengan anggota Dewa 19.

Menyokong kenyataannya, kata Nik Iruwan, hanya seseorang yang mempunyai pertalian darah dengan Ahmad Dhani "boleh" mengambil kedudukannya sebagai pemain keyboard.

“Yang boleh beraksi di kawasan tengah pentas itu hanya orang yang ada pertalian darah dengan Dhani saja,” katanya.

Sementara itu, Dul Jaelani atau nama penuhnya Abdul Qodir Jaelani berkata, bapanya ada menitipkan kata-kata perangsang untuk dia beraksi malam ini nanti.

“Sebelum berangkat ke Malaysia saya hubungi ayah dan dia pesan agar jalani latihan pada tahap maksimum selain ambil kesempatan terhadap peluang yang ada.

“Ayah juga pesan terus bersemangat dan berikan persembahan terbaik,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Lihat Komen
ADS