Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penganjur konsert Dewa 19 Reunion dihujani kecaman baladewa

Akaun Instagram konsert Dewa 19 Reunion diserbu pengguna media sosial hari ini yang mendakwa kecewa selepas menyaksikan konsert itu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.

Meskipun ramai yang menyatakan rasa teruja dapat menyaksikan band pujaan mereka, rata-rata peminat Dewa 19 atau gelarannya 'baladewa' menyifatkan konsert itu "indah khabar dari rupa".

Selain mengkritik sistem bunyi dan pencahayaan pentas, mereka juga kecewa apabila banyak lagu hits Dewa 19 tidak dimainkan.

“Banyak lagu hit tak main kenapa, ya? Larut, Mistikus Cinta, Sedang Ingin Bercinta, Laskar Cinta, Pencemburu, Mati Aku Mati. Eh, banyak lah tak main. Letih datang jauh-jauh,” komen pengguna Instagram @farisharrun.

Sementara itu, @stanleysating menyatakan rasa kecewa dengan sistem bunyi dan pencahayaan pada konsert tersebut.

“Lampu ke laut, bunyi pun sama. Bass langsung tak dengar. Penganjur sila belajar daripada penganjur konsert Ella pada 2016. Itu bunyi dan lampu ‘super tip-top’, kamu underdog punya kualiti.

“Saya agak kecewa. Lain kali kamu anjurkan konsert, saya takkan datang biarpun kamu bawa Mariah Carey sekalipun. Ini kali yang terakhir,” komennya.

'Tiada tandatangan, tiada swafoto'

Beberapa kritikan turut menyentuh berhubung pengendalian di gerai barangan cenderahati.

“Gerai barangan tak diurus dengan baik, memanjang kena potong barisan. Bagus (lagi) orang di pasar awam Kota Kinabalu beli daging, berbaris juga kami subuh-subuh itu. Ini jual t-shirt saja,” komen @rontogbana.

“Betul. Kita beratur satu jam, alih-alih datang kawan-kawan dia, beli baju ikut tepi saja,” tambah @thebakingbachelor pula.

 

Selain itu, terdapat juga yang tidak berpuas hati kerana mendakwa meskipun memegang tiket VIP berharga RM888, mereka tidak mendapat keistimewaan seperti yang dijanjikan penganjur dalam iklan.

“Semasa jualan tiket kamu (penganjur) iklankan (untuk berikan) poster yang bertandatangan, tetapi kami dapati poster itu tiada tandatangan. Kamu telah memberi gambaran yang salah dalam iklan kamu dan kami mahu duit kami semula!” kata @nurulazeema

Ketika dihubungi Malaysiakini, salah seorang pemegang tiket VIP, @dib.jual.kata, menyifatkan sesi meet and greet yang dibuat seperti "sesi bergambar sekolah".

“Kami disuruh ke belakang dan tunggu. Kemudian dibuat pengumuman, tiada sesi tandatangan, tiada swafoto. Hanya bergambar secara berkumpulan (seramai sepuluh orang), tak boleh seorang-seorang.

“Macam budak sekolah kami diarah masuk bilik terus berdiri di belakang kerusi artis," katanya.

Pemain bass Shh...Diam, Yoyo yang turut menghadiri konsert itu, ketika  dihubungi menyifatkan sistem bunyi yang digunakan seperti "karaoke kenduri kampung".

"Gangguan pada mikrofon (Vokalis Dewa 19) Ari Lasso, dram punya micing, ya Rabbi, bunyi macam keluar dari speaker karaoke kenduri kahwin.

"Saya rasa penganjur perlu beri perhatian pada perkara ini dan bukan sekdar membuat untung," katanya.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial yang lain turut mendakwa rungutan mereka di ruangan komen Instagram penganjur dipadam.

Malaysiakini sudah menghubungi penganjur dan sedang menunggu ulasan berhubung dakwaan berkenaan.

Lihat Komen
ADS