Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images

Lagu Haram ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, dinyanyikan Hael dan Dayang Nurfaizah diumum sebagai Juara Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) dalam acara yang melabuhkan tirainya sebentar tadi.

Ia sekaligus mengakhiri debaran siapa yang bakal membawa pulang gelaran itu dalam pertandingan AJL33 yang mengambil tempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Gandingan Hael dan Dayang itu ternyata membawa tuah hingga melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai lumayan bernilai RM50,000 berserta trofi.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada semua finalis anda semua terbaik tapi mungkin rezeki ini milik kami. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek Haram ini,” kata Hael dalam ucapannya selepas dinobat sebagai Juara AJL 33.

Dayang pula berkata: "Terima kasih kepada Hael kerana pilih Dayang untuk duet lagu ini.”

Naib Juara dimenangi Bunga, lagu itu dicipta Hang Nadim, Laq dan Kadoq, ia dipersembahkan oleh Ara Johari. Ara menerima hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Tempat ketiga jatuh kepada lagu Sampai Bila, hasil ciptaan komposer Sharon Paul manakala lirik oleh Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri.

Lagu disampaikan Misha Omar itu membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Persembahan vokal mantap Misha Omar sewaktu menyampaikan lagu Sampai Bila juga melayakkan penyanyi itu menyandang kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Persembahan Terbaik pula dirangkul penyanyi Sufian Suhaimi yang mempersembahkan lagu Di Matamu. Sufian membawa pulang wang tunai RM12,000, trofi dan lain-lain.

AJL 33 menyaksikan gandingan artis baru dan lama berentap dalam pertandingan sengit untuk menambat hati juri dan penonton sebelum dinobat sebagai Juara.

Kesemua 12 buah lagu yang bertanding dinilai oleh 10 barisan juri profesional yang diketuai oleh komposer Azmeer.

Sementara itu, keserasian hos edisi musim lalu yang dikekalkan antara Sherry Alhadad dengan Alif Satar menghangatkan lagi suasana pentas berprestij malam tadi.

Kumpulan rock ‘otai’, Search pula diberi mandat sebagai artis pembuka tirai acara dengan persembahan tiga lagu medley.

Selain itu, menerusi segmen penaja, tiga artis muda, Ismail Izzani, Nabila Razali dan Sarah Suhairi ditampilkan sekaligus bagi menyanyikan lagu Seribu Impian.

Anugerah yang membariskan lagu-lagu terbaik tahunan itu berlangsung jam 9 malam dan dipancarkan secara langsung melalui TV3.

Berikut senarai persembahan AJL 33 mengikut giliran:

  1. Luluh (penyanyi/ komposer/ lirik: Khair Bahar)
  2. Jatuh Bangun (komposer: Omar K, Haqiem Rusli dan Ikhwan Fatanna, lirik: Aman Ra, Omar K, Haqiem Rusli dan Ikhwan Fatanna, penyanyi: Haqiem Rusli)
  3. Kau Pun Sama (komposer: Kidd Santhe, Syamel dan DJ Biggie of Monster, penyanyi/ penulis lirik: Syamel)
  4. Tak Pernah Hilang (komposer: Farouk Roman, penulis lirik Amylea, penyanyi Kaer dan Amylea)
  5. Hajat (komposer/ penulis lirik: Hael Husaini dan Ezra Kong, penyanyi: Hael Husaini)
  6. Nisan Cinta (komposer/ penulis lirik: Hael Husaini, Ezra Kong dan Mike Chan, penyanyi: Siti Nordiana dan Jaclyn Victor)
  7. Di Matamu (komposer/ penulis lirik: Sirkhan dan Rinkarnaen, penyanyi Sufian Suhaimi)
  8. Bunga (komposer: Omar K, John Jeevasingham, penulis lirik: Altimet, penyanyi: De Fam)
  9. Semakin (komposer/ penulis lirik: Mera Utama, penyanyi: Siti Sarah)
  10. Bunga (komposer: Hang Nadim, Laq, Kadoq, lirik: Hang Nadim, penyanyi: Ara Johari)
  11. Haram (komposer: Hael Husaini dan Ezra Kong, penyanyi Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah)
  12. Sampai Bila (komposer: Sharon Paul, lirik: Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri, penyanyi: Misha Omar)
Lihat Komen
ADS