Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Emma: Jangan ikut saya buka tudung
Diterbitkan:  Feb 6, 2019 7:06 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Pelakon, Emma Maembong, dilaporkan tidak lagi mengenakan tudung sejak tiga hari lalu, selepas hampir lima tahun berbuat demikian.

BH Online hari ini memetik Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 27, berkata tindakannya membuka tudung itu bukan contoh yang baik.

"Saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selepas ini, saya harus telan segala kecaman dengan lapang dada.

“Untuk kita istiqamah dalam bertudung bukan perkara mudah. Pasti ada ujian yang menjelma. Jika tidak betul-betul bersedia, pasti terumbang-ambing juga iman diri. Ia (tindakan membuka tudung) bukan contoh yang baik dan jangan ikut saya," katanya.

Emma berkata ahli keluarganya agak berat untuk menerima keputusannya tidak lagi berhijab.

“Cuma, mereka akur dan tahu apa yang saya lalui selama ini. Mereka lihat dengan mata sendiri segala episod jatuh bangun dan ‘sakit’ saya menjadi anak seni.

“Mereka bukanlah menggalakkan saya tidak bertudung, tetapi dalam masa sama, berharap supaya suatu hari nanti saya akan kembali istiqamah,” katanya.

Dah 'kantoi' baru minta maaf

Menurut laporan BH Online lagi peminat juga mula bergambar dan merakam video bersama pelakon drama Projek Memikat Suami itu di tempat awam.

Bercakap kepada akhbar itu lagi, Emma berkata pernah menerima kritikan kerana caranya mengenakan tudung.

"Selepas saya mula bertudung dulu pun, seperti biasa cara berpakaian dan mengenakan tudung itu juga terus mengundang kritikan. Semua benda bagai serba tak kena. Benar, susah untuk saya memuaskan diri orang lain.

“Saya seperti berperang dengan diri sendiri. Tetapi, saya lawan segala perasaan negatif. Namun, saat hanyut dengan kekhilafan diri, baru-baru ini. 

"Saya terus dihukum seperti mempermainkan agama. Mereka yang memberi komen pedas itu pula seolah-olah mendapat jaminan masuk ke syurga. 

"Malah ada yang cakap, apabila sudah ‘kantoi’, baru nak minta maaf. Saya akur, diri ini manusia biasa yang tak pernah sempurna,” katanya.

Emma juga menafikan sekeras-kerasnya memakai tudung bagi melariskan perniagaan tudungnya.

“Perniagaan tudung dibuat ketika saya belum lagi menutup kepala. Secara peribadi, saya suka membeli tudung dan selendang, malah mempunyai sedikit bakat melukis, termasuk menjadikan tudung sebagai kanvas lukisan,” jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS