Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Masih belajar tutup aurat, Jihan harap istiqamah
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Jihan Muse mengharapkan dirinya akan terus istiqamah sebaik mengambil keputusan untuk mengubah penampilan dengan menutup kepala.

Pengacara dan pelawak itu bagaimanapun mengaku imej barunya itu masih belum sempurna dan sedang berusaha untuk belajar berhijab.

“Anggap saja perubahan ini sebagai permulaan, tetapi sudah pasti saya mengharapkan yang terbaik. Saya tidak tahu sekuat mana iman apabila berdepan dugaan nanti.

“Disebabkan itu, saya belum mempunyai kekuatan untuk mengatakan sudah berhijab kerana cara saya menutup aurat belum sempurna.

“Saya bermula dengan menutup kepala kerana masih meletakkan diri dalam proses pembelajaran,” katanya seperti dipetik BH Online.

Jihan Muse atau nama penuhnya Nur Jihan Musa dilihat muncul di khalayak ramai dengan imej bertudung sejak akhir bulan lalu.

Jihan, 35, berkata, hasrat untuk berhijrah sudah lama terdetik, namun belum dapat membulatkan hati dengan sepenuhnya.

Bagaimanapun, semasa ikut sama menjayakan misi kemanusiaan di Palu, Indonesia, keinginan untuk berubah semakin membuak-buak.

Ia terutama ketika tular cabaran perbezaan 10 tahun di media sosial

“Saya berharap dengan perubahan ini, doa insan berhati mulia di luar sana akan dimakbulkan dan saya terus istiqamah menjadi Muslimah, ibu serta isteri yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai reaksi suaminya, Jihan berkata, Ungku Hariz Faizal amat terkejut apabila melihat perubahannya semasa mereka bercuti di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Kata Jihan, suaminya menyangka dia memakai skaf kerana cuaca sejuk di negara itu.

“Tetapi, apabila masuk hari kedua dan saya terus menutup kepala, baru dia bertanya apakah saya serius mahu bertudung.

“Sudah tentu sebagai suami, dia mahu saya membuat perubahan dengan hati yang ikhlas dan bukan main-main.

“Disebabkan itu saya belum berani mengatakan saya sudah berhijab, tetapi saya sedang berusaha untuk berubah perlahan-lahan,” katanya.

Jihan dan suami berkahwin pada Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Ungku Arsalan Haq pada 26 Januari 2018.

Lihat Komen
ADS