Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Paderi halang tayangan filem dedah skandal gereja
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Seorang paderi yang didakwa mencabul lebih daripada 80 kanak-kanak lelaki cuba menghalang filem berkisah skandal dalam gereja Katolik Perancis dari ditayangkan kepada umum.

Karya By the Grace of God yang diusahakan secara rahsia oleh pengarah terkenal Francois Ozon ditayangkan buat julung kali hari ini di Festival Filem Berlin, Jerman.

Bagaimanapun, nasib tayangan By the Grace of God di Perancis masih belum diketahui selepas tertuduh iaitu paderi Bernard Preynat memfailkan permohonan di mahkamah.

Preynat menggesa filem itu ditayangkan hanya selepas perbicaraannya yang dijangka bermula awal tahun ini.

Seorang pekerja sukarelawan untuk kawasan uskup Lyon, Regine Maire juga mencabar undang-undang agar namanya dikeluarkan daripada filem berkenaan.

Tayangan perdana filem itu diadakan ketika Ketua Biskop Lyon, Kardinal Philippe Barbarin dan lima lagi tertuduh termasuk Regine menunggu keputusan mahkamah atas dakwaan bersubahat menyembunyikan penderaan seksual.

Disembunyikan terlalu lama

Ozon - yang terkenal melalui karyanya Swimming Pool dan 8 femmes - berharap kes berkenaan sepatutnya sudah berakhir.

Bagaimanapun, katanya, karya itu perlu ditayangkan demi kebaikan masyarakat.

“Apabila kamu cuba mendedahkan sesuatu, pasti ada rintangan. Saya tidak fikir ia berlaku kerana disengajakan,” katanya seperti dipetik AFP.

Skandal terbabit didedahkan pada 2015 apabila seorang daripada penuntut, Francois Devaux mendakwa Preynat melakukan serangan seksual terhadap dirinya kira-kira 25 tahun lalu sewaktu dia masih kanak-kanak.

Sementara itu, Ozon berkata, bagi menyiapkan karya berkenaan, dia bekerjasama dengan beberapa kumpulan yang anggotanya pernah menjadi mangsa seksual seperti La Parole Liberee.

Mereka membantu mengumpulkan testimoni sebanyak 85 individu yang mendakwa pernah menjadi mangsa serangan seksual Preynat di Lyon.

Menurut Ozon sebagai menghargai pendedahan yang disembunyikan terlalu lama itu, karyanya itu mahu memaparkan kesan negatif dideritai oleh mangsa yang boleh berbalik kepada pasangan, anak, keluarga dan rakan-rakan mereka.

Bagaimanapun, Ozon menegaskan, tiada fakta utama didedahkan dalam filem itu bagi sesiapa yang mengikuti kes terbabit.

“90 peratus daripada filem itu mengambil berat mengenai mangsa, ini kisah mereka.

“Selebihnya diwujudkan daripada dokumen mahkamah, wartawan, dokumentari dan sebuah buku berkisahkan skandal itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS