Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Korang dengan falsafah korang boleh pergi mampus!'
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 1:58 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Enggan berdiam diri dan membiarkan dirinya menjadi mangsa buli siber, Nabila Huda tampil mengecam pihak yang menurutnya gemar menuding jari mencari kesalahannya.

Menurut pelakon itu, generasi kini kerap bertindak melampau batas dalam melontarkan komen di media sosial termasukah mencaci.

Katanya, dia tidak mahu berdiam diri terutama apabila dirinya serta rakan-rakan seperjuangan dalam dunia seni acapkali diperlekehkan netizen.

“Media sosial sekarang semakin menakutkan.

“Makin lama dibiarkan, makin menjadi-jadi. Saya tak boleh berdiam diri. Ia menyakitkan,” katanya melalui coretan panjang di Instagram.

Pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu juga berang apabila golongan selebriti sering disalahkan apabila muncul sesuatu isu.

“Yang buruk semua datang dari kami. Jahat, pengaruh buruk, neraka tempat kami.

"Saya rasa ini sudah melampau. Tidak ada langsung kebaikan dari kami yang bergelar 'retis',” katanya.

Bagi Nabila, 34, persepsi sedemikian merupakan penghalang kepada sesuatu pengiktirafan ke atas perkembangan kerjaya positif.

“Macam mana kita yang bekerja keras, jujur dengan apa kita buat, sepenuh jiwa dan raga kita berikan yang terbaik tetapi akhirnya yang dipertikaikan adalah keburukan dan kelemahan.

“Selama ini kami buat yang terbaik, dan ini cara kamu hargai kami, ini tidak adil…Oh nak kena tunjuk yang baik je baru disayangi rakyat Malaysia.

“Korang dengan falsafah korang boleh pergi mampus!” katanya.

Hadkan perkongsian media sosial

Akur setiap gerak-gerinya menjadi perhatian, anak penyanyi kumpulan rock Amy Search itu bagaimanapun mengaku mereka tidak terlepas daripada membuat sebarang kesilapan.

“Kami cuma manusia biasa. Cuma bezanya kami seseorang yang dikenali. Tapi itu tak bermaksud kami perlu jadi sempurna untuk anda,” katanya.

Sejak awal tahun ini nama Nabila sering mengundang perhatian warga Internet susulan beberapa isu antaranya berhubung gerai makanan diusahakannya dan terbaru dia didakwa menghina penduduk Sabah kerana perkataan “bossku.”

Justeru, kata Nabila, dia tidak mahu tunduk di hujung jari pengguna media sosial, sebaliknya ingin cuba mengawal sempadan yang ingin dikongsikan kepada peminat.

Antara langkah diambil dan disarankan pelakon filem Munafik itu kepada rakan-rakannya dalam dunia hiburan adalah dengan mengehadkan perkongsian mengenai kehidupan peribadi dan melebihkan perkara berkaitan karier.

“Media sosial memainkan peranan penting dalam kehidupan kita sekarang. Jangan biarkan media sosial kawal kita. Kita yang patut mengawalnya.

“Kongsi je pasal kerja, projek kita yang seterusnya. Semua mengenai karier kerana mereka tidak berhak mengenali diri kita yang sebenarnya.” katanya.

Lihat Komen
ADS