Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akhbar PAS terus serang ‘Love in Georgetown City’
Diterbitkan:  Feb 13, 2019 1:23 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Harakahdaily terus menyiarkan laporan yang menyerang pementasan teater Love in Georgetown City yang didakwa boleh merosakkan akhlak dan sahsiah anak muda.

Akhbar web PAS itu hari ini melaporkan seorang Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohamad Nor melahirkan kebimbangan mengenai pementasan karya dan arahan anak jati Pulau Pinang Fa Abdul.

“Kita bimbang sikap apologetik umat Islam terutama sikap bermanis muka jahiliah ataupun di zaman fahaman muktazilah fahaman mengutamakan akal yang sedang berlangsung pada hari ini yang dipimpin oleh Pakatan Harapan akan menghancurkan lagi akhlak dan sahsiah anak muda,” katanya.

Riduan Mohamad Nor

Menurut Harakahdaily:

“Berdasarkan sinopsis, teater tersebut ada selingan sesi quickie atau dalam bahasa mudahnya mengajak ke arah melakukan persetubuhan dan meliputi cerita kemasyarakatan, perhubungan suami isteri serta persahabatan luar tabii.”

Harakahdaily semalam melaporkan Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) menggesa pementasan teater itu dibatalkan atas dakwaan ia akan mencabar sensitiviti umat Islam dan mencabar perundangan berkaitan bahan lucah.

Pementasan itu asalnya diberi nama Sex in Georgetown City, namun judul itu diubah kepada Love in Georgetown City susulan mendapat bantahan dan kecaman diterima. 

Love in Georgetown City sebuah jurnal komedi dan romantis koleksi sepuluh cerita pendek arahan Fa bawah produksi Big Nose.

Ia dijadual dipentaskan kepada penonton sempena Hari Kekasih iaitu pada 14 Februari (esok) hingga 17 Februari di Performing Arts Centre, Pulau Pinang.

Persembahan hanya dibuka untuk penonton berusia 16 tahun ke atas.

Fa sebelum ini berkata dia tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti agama dan budaya menerusi tajuk yang dipilihnya.

Katanya, Love in Georgetown City membahaskan isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat, negara, hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan kecurangan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Fa berkaitan perkembangan itu.

Lihat Komen
ADS