Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iman naik turun, tapi Raja Ema tetap berhati-hati

Walaupun pernah bertudung dan menanggalkannya beberapa kali, Raja Ema menegaskan dia tidak akan menerima tawaran berlakon jika skrip itu memerlukan dia mendedahkan rambutnya.

Pelakon dan penyanyi popular sekitar pertengahan era 1980-an itu berkata, dia kembali semula dengan imej bertudung kira-kira dua tahun lalu.

“Pada saya, iman manusia ni memang akan ada naik dan turunnya, tapi cukup saya katakan, jika ada tawaran berlakon tak bertudung, saya tak terima,” kata pemilik nama penuh Raja Ema Raja Ibrahim itu.

Dia ditemui pada majlis pengumuman filem terbaru lakonannya, Iskandar The Movie, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

Ditanya mengenai penampilannya yang bertudung dan kemudian menanggalkannya suatu ketika dulu, Raja Ema berkata, ketika itu dia baru berjinak-jinak dengan kebiasaan itu.

Kata penyanyi lagu Kebebasan itu, sekiranya ada manusia yang berbuat kesilapan, sepatutnya mereka didoakan supaya berubah.

“Memang saya juga dikecam apabila buka tudung. Sepatutnya, cuba kita doakan.

"Manusia ni kalau dihentam, dikecam hati jadi lebih keras.

"Eloknya bagilah waktu sebab memang hati manusia tu tak sempurna. Begitulah keadaan dunia ini,” katanya.

Kisah Mak Jah dan anak-anak

Pada masa sama, Raja Ema, 49, yang hampir dua tahun menyepi dari kesibukan dunia hiburan juga memaklumkan dia kini bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Saya lama tak berlakon sebab tumpukan perhatian pada perniagaan. Tapi apabila masuk 2019 ni, alhamdulillah dapat tawaran untuk berlakon Keluarga Iskandar The Movie.

“Semasa penerbit beri tawaran, saya terima dengan hati yang terbuka. Sebelum ni memang ada tolak beberapa tawaran lain sebab kekangan masa,” katanya mengenai filem yang dijangka siap pada September nanti.

Antara barisan pelakon filem Iskandar The Movie

Iskandar The Movie diadaptasi daripada siri televisyen popular Keluarga Iskandar yang berkisahkan keluarga arwah Haji Iskandar, iaitu Mak Jah dan lima anaknya yang hidup bersederhana dalam masyarakat.

Penerbitan filem itu disokong penuh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar yang bertanggungjawab merancang, mempromosi dan memudah cara pembangunan kawasan Iskandar Malaysia yang terletak di selatan tanah air.

Selain Raja Ema, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu termasuk Hilal Azman, Zain Hamid, Azhar Sulaiman, Anita Baharom, Kismah Johar dan penampilan khas seperti Zara Zya, Ajak Shiro, Faiz Dickie, Zarina Zainuddin dan Amy Mastura.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Raja Ema juga berkata dia bakal tampil dengan single terbaru berjudul I D Cintamu.

Menurut anak seniwati Yusni Jaafar itu, lagu berkenaan ditujukan khas buat peminat yang masih menyokong kariernya sejak 1980-an dulu.

“Khas untuk peminat setia, saya lancarkan lagu yang melodinya seperti era 80-an kerana zaman sekarang pendengar masih terima rentak begini.

“Lagu ni seperti kesinambungan lagu Jejaka Idaman dan Angan-angan cuma kali ini saya buat kelainan sedikit pada konsepnya,” kata Raja Ema.

Lihat Komen
ADS