Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Air mata iringi khabar gembira buat Lana Nordin
Diterbitkan:  Feb 14, 2019 9:57 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Khabar gembira bertamu buat pelakon Lana Nordin apabila anaknya yang berusia dua tahun selamat menjalani pembedahan mengatasi masalah injap sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Lana meluahkan rasa syukur apabila pembedahan baloon valvuloplasty ke atas anaknya, William Daud Mckienzie, berjalan lancar jam 5 petang tadi.

“Apabila doktor keluar dari bilik pembedahan dan maklumkan anak saya selamat dan prosedur itu berjaya saya rasa sangat terharu dan menangis.

“Anak saya masuk ke bilik pembedahan pada jam 4.20 petang dan sejam kemudian pembedahan selesai.

“Menurut doktor, jika pembedahan kurang sejam, anak saya dalam keadaan baik dan jika lebih dari satu jam bermakna ada komplikasi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Selain itu, kata pemilik nama penuh Mazlina Hasan Nodiin itu doktor turut mengesahkan jantung anaknya dalam keadaan normal malah perkara itu dianggap satu keajaiban.

“Syukur anak saya kuat jantungnya tidak ada apa-apa komplikasi dan tidak perlu buat pembedahan lain.

"Malam ini dia ditahan di ICU (unit rawatan rapi) dan esok akan ke wad biasa. Semoga William cepat sihat dan boleh keluar hospital,” katanya.

Lana juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang berada di hospital dan kepada mereka yang terus mendoakan anaknya.

Menurutnya, dia sangat bersyukur kerana ramai rakannya dalam kalangan artis mendoakan dan menyayangi William.

“Syukur kepada semua yang mendoakan anak saya. Tidak hanya kawan-kawan artis malah ada kawan-kawan yang berada di Makkah turut mendoakannya,” katanya.

Sebelum ini, Lana berdukacita apabila William dimasukkan ke ICU selepas jantungnya terhenti selama 10 minit sebelum prosedur pembedahan dilakukan.

Lihat Komen
ADS