Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sasqia Dahuri tak pernah merungut pasal rezeki

Ada harapan setinggi gunung diimpikan pelakon Sasqia Dahuri sebaik dia menerima tawaran menggalas satu daripada watak utama filem thriller, Misteri Dilaila.

Kata Sasqia, jika berlakon di bawah arahan seorang daripada pengarah popular seperti Syafiq Yusof mampu melonjakkan namanya, sudah pasti dia menjadi insan yang amat bersyukur.

Bagaimanapun, katanya, jika apa yang diidamkan itu tidak kesampaian, dia akan bertabah dan sedar diri serta belajar bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.

“Harapan memang besar, insya-Allah, dan alhamdulillah jika filem ni mampu berikan satu kejayaan besar buat saya.

“Tapi saya tak pernah merungut dengan apa yang saya dapat. Ini kerana saya tahu saya dah menang dari segi kualiti kerja yang dipersembahkan,” katanya.

Sasqia ditemui pada malam tayangan gala Misteri Dilaila di sebuah kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

Untuk mereka yang masih belum mengenali, sebelum ini Sasqia sering diberi kepercayaan untuk membawa watak antagonis.

Dulu keras habis

Antara naskhah awal dijayakan pemilik nama penuh Nurlisasqia Ahmad Dahuri itu semasa mula beraksi untuk produksi layar lebar ialah filem Kongsi dan Senario Ops Pocot.

Sasqia, 33, juga mengaku jika ada hasil kerja yang dipamerkannya dalam lakonan pada tahun-tahun sebelum ini tidak memuaskan sesetengah pihak.

Katanya hal itu dapat difahami kerana dia sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang dizahirkan.

Antara pelakon yang menjayakan filem kelapan Syafiq Yusof itu

“Sewaktu berlakon dalam filem terdahulu, saya akui kurang berpengalaman, berlakon pun keras habis.

"Apabila difikirkan balik, jika boleh kembali masa silam, saya nak tingkatkan usaha itu,” katanya.

Sementara itu, Sasqia turut mengulas watak bernama sama yang digalas bersama oleh Elizabeth Tan dalam Misteri Dilaila.

Menurut Sasqia, dia yakin penampilannya akan tetap disedari walaupun digandingkan dengan penyanyi yang juga pelakon yang namanya yang semakin 'hangat di pasaran' seni tanah air.

Elizabeth Tan

“Karya dan gaya saya tak boleh dibandingkan dengan orang lain kerana cara pembawakan pelakon semua berbeza.

“Saya juga yakin dengan kualiti kerja yang dah diberikan dalam terma profesinalisme,” katanya.

Misteri Dilaila ialah karya kelapan Syafiq dan dijangka menemui penonton pada 21 Feb ini.

Ia berkisah mengenai sepasang suami isteri iaitu Jefri - watak dibawa Zul Ariffin - dan isterinya Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser, Pahang.

Jefri yang kehilangan Dilaila secara tiba-tiba di situ kemudian diganggu pelbagai kejadian aneh semasa berusaha mencari isternya.

Masalah didepani semakin memburuk selepas Imam Aziz (Namron) tampil memperkenalkan seorang wanita yang mengaku sebagai isterinya Jefri.

Lihat Komen
ADS