Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suhaimi minta penganjur konsert usah 'kona-kona'
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Penyanyi nasyid Suhaimi Saad meminta pihak penganjur agar tidak mengeluarkan kenyataan berdolak-dalih berhubung penyingkirannya dalam konsert amal yang bakal berlangsung 20 April ini.

Bekas anggota kumpulan nasyid Inteam itu berkata, pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukannya perlu menggunakan bahasa yang lebih tepat bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Istilah direhatkan tu tak tepat. Sila rujuk kamus Dewan. Cakap je disingkirkan sebab ada penaja yang tak puas hati.

“Kan senang faham, buat apa nak kona-kona (berdolak-dalik),” katanya melalui hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan wakil penganjur Konsert Amal 4nomena merehatkan Suhaimi daripada persembahan itu yang bakal berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akibat isu kontroversi membabitkannya.

Menurut wakil penganjur keputusan itu diambil selepas mereka mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan konsert amal berkenaan.

Katanya lagi, mereka sedia maklum mengenai kontroversi yang melanda Suhaimi selepas ia mencetus provokasi dan menerima reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.

Antaranya, pemilik nama penuh Mohd Suhaimi Saad pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia mempercayai Bumi berbentuk rata.

Suhaimi, 38, yang merujuk dirinya sebagai SS dalam hantaran di media sosial itu juga berkata, tindakan dikenakan ke atasnya sedikit pun tidak menjejaskannya.

“SS OK je. Pinggan tak retak, nasi tak dingin,” katanya berkias.

Pada masa sama, Suhaimi sempat berkata, dia mengharapkan segala urusan berhubung konsert itu dipermudahkan.

“Apa pun, SS harap konsert tu berjaya mencapai matlamat. Amin,” katanya sambil mengiringi kenyataan itu dengan tanda pagar #hidupjanganhipokritallahtaksuka

Lihat Komen
ADS