Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Anggota kumpulan Ruffedge dan pelakon Zain Hamid berharap orang ramai tidak membuat tanggapan bahawa kerjaya lakonannya sudah berakhir.

Kata Zain, dia tidak meninggalkan bidang itu meskipun nama Ruffedge kini kembali mewarnai arena muzik tempatan, apabila membuat kemunculan semula selepas lebih sedekad mereka membawa haluan masing-masing.

“Saya tak tinggalkan bidang lakonan. Tolong jangan anggap saya dah berhenti berlakon. Orang ramai hanya membuat anggapan sebegitu," katanya.

Bagi Zain, 40, dia perlu mengimbangi dua bidang tersebut - lakonan dan nyanyian - jika mahu bergerak aktif secara serentak.

Zain atau nama penuhnya Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid ditemui di majlis pengumuman projek terbarunya, Keluarga Iskandar the Movie di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Ia merupakan adaptasi daripada siri drama televisyen popular Keluarga Iskandar yang mengisahkan kehidupan Mak Jah dan lima anaknya.

Ruffedge

Ruffedge - kumpulan R&B dan Soul popular itu - kembali ke arena muzik tempatan dengan konsert ulang tahun ke-20 mereka Ogos lalu. Hujung bulan lalu, mereka mengeluarkan single terbaru berjudul Seperti Mereka.

Dalam pada itu, Zain berkata dia berdepan situasi melucukan apabila peminatnya di kalangan generasi muda bertanya tentang penglibatannya dalam bidang nyanyian.

Dia mengakui ada peminat berusia bawah 18 tahun yang terkejut apabila mendapat tahu dia memang seorang penyanyi.

“Umum tahu ketika ini saya lebih aktif sebagai pelakon berbanding di pentas nyanyian. Malah ada antara peminat yang cakap tak sangka uncle ni rupa-rupanya penyanyi.

“Mereka juga siap memberi mesej dan berkata tidak menyangkakan saya ada kebolehan itu.

“Saya akan cakap ya, saya menyanyi dulu baru berlakon,” katanya berseloroh.

Lihat Komen
ADS