Jokowi berdangdut pula menuju pilihan raya
Ketika detik pilihan raya presiden Indonesia semakin hampir, kem Presiden Joko Widodo sekali lagi tampil dengan strategi seni untuk meraih sokongan.
Kali ini mereka menggunakan irama dangdut yang dimodenkan dengan unsur kontemporari.
Hari ini muncul klip video muzik berjudul Meraih Kemenangan dengan menampilkan Via Vallen, selebriti yang mempunyai 12 juta pengikut di Instagram, sebagai penyanyinya.
Sebenarnya, Meraih Kemenangan bukanlah lagu baru, tetapi iramanya pernah didengar hampir semua rakyat Indonesia setiap hari pada hujung tahun lalu.
Justeru, mungkin kerana itulah pasukan kempen Jokowi - nama lebih akrab Joko Widodo - bersama calon timbalan presidennya Ma'ruf Amin memilih lagu berkenaan.
Asalnya irama itu dibuat untuk lagu pembukaan temasya Sukan Asia 2018 yang diadakan di Jakarta. Ia diberi judul Meraih Kemenangan.
Ketika lagu itu menjadi halwa telinga orang Indonesia, Jokowi sempat menarik perhatian ramai dengan aksinya 'mendayung' mengiringi lagu berkenaan melalui aplikasi TikTok.
Pada pemilihan yang diadakan 17 April nanti regu Jokowi - Ma'ruf akan berdepan gandingan Prabowo Subianto - Sandiaga Uno.
Secara peribadi ia adalah pertembungan kedua di antara Jokowi dan Prabowo. Kali pertama mereka bersaing untuk jawatan presiden Indonesia ialah pada 2014.
Dangdut dan politik
Menariknya pada persaingan kali pertama Jokowi dan regunya - Jusuf Kalla - juga menggunakan lagu dalam kempen mereka. Dan lagu berkenaan cepat melekat di hati orang ramai sehingga ia membuka ruang kemenangan kepada pasangan terbabit.
Pada 2014, Jokowi - Jusuf dipromosi lagu Bersatu Padu Coblos Nomor Dua nyanyian Marzuki Mohamad atau nama pentasnya Kill the DJ.
Kali ini gandingan Jokowi - Ma'ruf menjadi calon nombor satu.
Bagaimanapun, tidak semua orang menyambut baik kemunculan Meraih Kemenangan.
Sesetengah pihak berpendapat kem Jokowi tidak sepatutnya menggunakan irama dangdut untuk tujuan politik.
Secara umum, irama dangdut mempunyai tempat yang meluas di Indonsia kerana ia menjadi kegemaran ramai, terutama golongan pertengahan bawah.
Seorang pengkaji muzik dari Universiti Pittsburgh di AS, Andrew N Weintraub, pernah menulis buku Dangdut Stories: A Social and Musical History of Indonesia's Most Popular Music menyatakan, dangdut memang selalu dijadikan alat untuk kepentingan politik.
Menurut analisis Weintraub irama dangdut mula dijadikan bahan penarik massa sejak 1970-an lagi.
Pengarah Komunikasi Politik pasukan kempen Jokowi-Amin, Usman Kansong, berkata mereka memilih irama Meraih Bintang kerana dianggap sesuai dengan mereka.
"Tambahan pula lagu itu dinyanyikan oleh Via yang mempunyai ramai penggemar," katanya seperti dipetik CNN Indonesia.
Menurut Usman lagi, Meraih Kemenangan diyakini dapat menarik perhatian semua golongan masyarakat - faktor yang diperlukan Jokowi dan Ma'ruf untuk memenangi saingan sengit pemilihan presiden kali ini.
"Lagu itu boleh dijadikan pebagai maksud. Mungkin kita anggap ia dapat menarik sokongan, atau meraih simpati.
"Ia adalah hal yang biasa politik," katanya.

