Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada jutaan pengikut pun, sekali masuk kem tentera....

Pelakon Janna Nick tidak menduga cabaran yang perlu dihadapinya amat besar sebaik menyarung pakaian seragam untuk menjadi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) buat sementara waktu.

Kata Janna, meskipun tempoh dia memasuki kem latihan itu hanya kurang dari sebulan, tidak mudah baginya untuk menyiapkan diri membawa watak dalam Leftenan Zana iaitu drama terbaru lakonannya.

Menurut pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu, hasil pengalaman singkat itu dia tahu sebaik saja seseorang mendaftarkan diri untuk menjadi anggota ATM mereka perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental, emosi dan fizikal.

Jika tidak, katanya, mereka akan ‘tewas’ atau terkandas di tengah jalan.

“Saya, walaupun hanya berlakon, tapi saya hampir putus asa.

"Ia terlalu sukar sebab perlu sertai latihan bersama kadet yang pengalaman mereka sudah dua bulan di kem tentera.

“Jadi, kalau artis, tak kisahlah ada pengikut berjuta-juta orang pun (di media sosial), sekali dah masuk kem, kita harus menghormati uniform itu dan melalui pengalaman sama seperti kadet lain,” katanya.

Tak rasa dibuli

Antara latihan perlu dijalani Janna ialah mengangkat kayu balak yang beratnya hampir 30kg dan berlari tanpa henti selama dua jam.

Janna, 24, ditemui pada sidang media pengumuman Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) edisi ke-6, di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Di sebalik pengalaman jerih itu, Janna berkata, dia kini amat mengagumi dan menyanjung tinggi semangat anggota ATM yang tugas mereka ialah melindungi tanah air.

“Kita kena beri penghormatan tinggi untuk askar tanah air kita,” katanya yang juga mengaku tidak serik - tetapi perit - menjalani latihan di Port Dickson dan Kem Terendak di Melaka.

Bagaimanapun, Janna tidak sedikit pun menganggap apa dilaluinya itu sebagai kes buli kerana statusnya sebagai dia artis.

Sebalikya Janna menyifatkan pengalaman dan keperitan yang dilaluinya itu adalah cabaran yang sangat mahal dan dia tetap menghargainya.

Janna diberikan tanggungjawab membawa watak Leftenan Zana dalam drama bersiri arahan Azman Yahya. Ia disiarkan di TV3 mulai 8 Feb lalu.

Ia diterbitkan JS Pictures Sdn Bhd - syarikat dimiliki pasangan Azman dan Sheila Rusly.

Ia berkisah tentang Zanariah - atau Zana - yang bercita-cita menjadi anggota tentera tetapi tidak direstui bapanya Mejar (B) Rahmat.

Walau tidak mendapat izin, Zana secara rahsia membuat permohonan menjadi ATM secara dalam talian.

Lihat Komen
ADS