Selepas disaman AS$3.1 juta (RM12.6 juta) berhubung insiden di Utah pada 2016, Gwyneth Paltrow tampil membuat tuntutan balas ke atas seorang doktor mata pencen.

Namun aktres Hollywood itu tidaklah mencari laba atau mengambil kesempatan, sebaliknya membuat tuntutan secara simbolik.

Dia meminta Terry Sanderson - individu yang menyamannya AS$3.1 juta bulan lalu berhubung insiden berkenaan - membayar ganti rugi AS$1 (RM4.07) saja.

Dalam aduan dibuat, Gywneth mendakwa kecederaan dialami Sanderson amat kecil dan lelaki terbabit membuat tuntutan tidak berasas.

“Penyelesaian tuntutan ini akan menunjukkan Sanderson selaku plaintif yang melanggar Gwyneth dan menyalahkan aktres terbabit bertujuan mengeksploitasi kekayaan dan kedudukannya sebagai selebriti,” kata peguam mewakili pelakon itu dalam laporan 18 muka surat mereka ke mahkamah.

Gywneth, 46, sedang meluncur bermain ski dengan anak-anak dan rakannya sewaktu menikmati percutian keluarga apabila kemalangan itu berlaku.

Sanderson mengumumkan mengambil tindakan undang-undang ke atas pelakon A Perfect Murder itu dalam satu sidang media yang diadakan di Salt Lake City, AS, bulan lalu.

Katanya, sewaktu sedang meluncur di bahagian orang baru belajar itu, dia tiba-tiba mendengar jeritan kuat dari belakang sebelum menyedari berada di celah kaki Gywneth.

Doktor pencen yang mengaku mempunyai pengalaman meluncur lebih dari 30 tahun itu mendakwa dia menderita akibat empat tulang rusuknya patah.

Selain itu, dia juga mengalami kecederaan otak traumatik hingga menyebabkan dia kehilangan ingatan jangka pendek.

Dakwa Sanderson, 72, Gywneth tidak dapat mengawal situasi dan menyifatkan insiden itu sebagai “langgar lari.”

Sanderson juga mendakwa Gywneth terus berlalu pergi dan tindakan itu melanggar syarat meluncur tempatan yang mewajibkan peluncur yang terbabit dalam sebarang pertemburan untuk berhenti dan membantu mereka yang cedera.

Bagaimanapun, Gywneth pula mendakwa semasa insiden berlaku, Sanderson memohon maaf selain memberi jaminan bahawa dia tidak mengalami kecederaan.