Rossa disapa rezeki lumayan di Korea Selatan
Penyanyi Indonesia, Rossa, menjadi artis pertama dari negara itu yang berpeluang berkolaborasi dengan bintang K-Pop, Super Junior.
Selain Super Junior, Rossa juga terpilih menjalin kerjasama dengan syarikat hiburan gergasi - berpangkalan di Korea Selatan - SM Entertainment yang menaungi artis popular seperti EXO, Neo Culture Technology dan Girl’s Generation.
Rossa yang mengesahkan sendiri perkara itu berkata, dia direkrut SM Entertainment secara tidak sengaja iaitu ketika sedang bercuti di Korea Selatan tahun lalu.
Menurut Rossa, 41, berita gembira itu dimaklumkan selepas SM Entertainment menjemputnya untuk makan malam bersama wakil syarikat Kim Young Min.
“Saya diminta SM Entertainment menjadi artis pertama Indonesia yang bekerja dengan mereka. Mereka juga mempunyai cawangan di Indonesia," katanya.
Menceritakan detik itu Rossa berkata dia menghabiskan masa agak lama untuk makan malam dengan Kim.
Katanya suasana ketika itu sungguh ceria.
"Besoknya, mereka bertanya jika saya mahu menyertai SM Entertainment.
“Jadi ia liburan yang membawa berkah, alhamdulillah,” katanya seperti dipetik vivo.co.id.
Sempat jumpa Leeteuk
Penyanyi lagu Hati Yang Terpilih itu juga memaklumkan khabar istimewa itu buat peminat di media sosial malam tadi.
“Hari ini adalah salah satu hari bersejarah dalam karier saya,”
“Terima kasih Lee Soo-man, Nikki Semin-han dan Han Kyoung-jin telah mengajak dan menerima saya menjadi keluarga besar SM @smtown.
“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan kumpulan ini,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Rossa memuat naik gambar antaranya bersama ketua kumpulan Super Junior, Leeteuk, dan pengasas SM Entertainment, Lee Soo-man.
SM Entertainment juga mengeluarkan kenyataan rasmi di akaun rasmi Instagram mereka menggunakan tiga versi bahasa iaitu Korea, Inggeris dan Indonesia berhubung projek terbaru mereka.
“SM Entertainment mengumumkan perjanjian untuk membuat perusahaan joint venture dengan CT Group, salah satu perusahaan Indonesia terbesar di sektor media, kewangan dan jualan runcit.
“SM juga mengumumkan rancangan kolaborasi antara Super Junior dan penyanyi ternama Indonesia, Rossa,” menurut keterangan dimuat naik itu.

