Dari doktor klinik jadi pembikin filem
Berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang kedoktoran, Dr S Selvamuthu kini optimis mempertaruhkan bakatnya dalam bidang yang berbeza iaitu sebagai pembikin filem.
Dr Selvamuthu berkata, bagi membuktikan kesungguhannya dalam dunia perfileman, dia akan berusaha keras untuk menyiapkan sekurang-kurang sepuluh buah filem sebelum tahun 2019 melabuhkan tirai.
“Saya sudah menyiapkan dua buah karya buat masa ini dan tinggal baki lapan lagi,” katanya kepada Malaysiakini.
Ditemui di kliniknya Puchong, Dr Selvamuthu yang mesra panggil Dr Selva berkata minat pembikinan filem muncul dalam dirinya selepas satu insiden dihalau dari melawat sebuah studio filem di Chennai ketika menyambung ijazah kedoktoran.
"Studio berkenaan kata saya tidak mempunyai sebarang urusan di studio filem itu. Secara jujur saya memang kecewa apabila dihalang.
"Tetapi, insiden tersebut menjadi titik pencetus kepada saya untuk membuat filem," kata Dr Selva yang turut berlakon dalam filem terbaru 'Kutram Seiyel' (Jangan buat kesalahan) yang diterbitkan syarikat produksinya sendiri Cini Shathriya.
Menurutnya, filem ini bukan karya pertamanya kerana dia filem pertamanya Tharkappu diterbitkan pada 1998 dan berjaya meraih kutipan sederhana.
Namun, katanya kejayaan sebenar adalah melalui siri televisyen 'Naan Kabali Alla'.
"Siri ini ditayangkan di Astro menerima pujian dan sokongan kuat oleh peminat filem tempatan. Ini memberi kekuatan dan semangat untuk menerbit 10 filem dalam tahun ini," katanya
Selain filem 'Kutram Seiyel' yang bakal memasuki panggung pada 7 Mac ini, Dr Selva mengesahkan filem kedua berjudul 'Tamani' sudah habis menjalani penggambaran.
"Kalau semuanya berjalan lancar, harap-harap saya meletak sasaran untuk membikin lapan filem lagi sebelum akhir tahun ini," tambahnya lagi.
Ketika ditanya filem terbarunya, 'Kutram Seiyel', Dr Selva berkata filem yang mengisahkan dunia kopolisian itu merupakan kerjasama antara Malaysia-India.
"Filem arahan Barathiraja yang merupakan seorang pengarah tempatan dibantu oleh seorang pengarah dari India" katanya sambil menambah beliau turut berlakon dalam satu watak penting dalam filem itu.
Menurutnya Selamuthu pihaknya kini dalam usaha mempromosikan filem berkenaan.
"Kita perlu akui bahawa industri tempatan tidaklah sebesar India, tetapi, kami yakin filem 'Kutram Seiyel' mampu menjadi satu 'percikan api' dalam sejarah filem tempatan," ujarnya lagi.

