Pengakhiran jalan cerita berbeza yang ditampilkan dalam Misteri Dilaila menjadi antara topik menjadi pertikaian dalam kalangan pengguna media sosial ketika ini.
Menyedari perkara itu, pengarah Syafiq Yusof tampil mendedahkan perkara sebenar.
Kata Syafiq, dia sebenarnya sengaja memilih dua pengakhiran yang berlainan untuk menyuguh sesuatu yang segar berbanding apa yang pernah dihidangkan sebelum ini.
“Hari ini secara rasminya saya umumkan kepada semua bahawa sememangnya filem ini dibuat khas dengan dua pengakhiran berbeza.
“Konsep sebegini belum pernah lagi ditampilkan di dalam industri filem Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Syafiq, 26, genre misteri thriller menjadi penyebab utama dia muncul dengan konsep sebegitu.
Dia yang turut pernah mengarah filem Abang Long Fadil dan Villa Nabila berkata, pada masa sama ia juga memberi peluang untuknya mengembangkan jalan cerita dan watak dengan lebih baik, dramatik serta kreatif.
“Saya juga berharap konsep ini mampu membantu filem genre misteri thriller mendapat lebih perhatian daripada penggemar filem tanah air sama seperti peminat filem aksi dan seram,” katanya.
Siapa betul, siapa salah
Bagaimanapun, disebabkan terdapat dua kesudahan berbeza, penonton perlu mengikuti maklumat terkini mengenai senarai pawagam bagi kedua-dua pengakhiran filem itu, sama ada di Instagram, Facebook atau Twitter Astro Shaw.
Misteri Dilaila menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia, Singapura, dan Brunei sejak 21 Feb lalu.
Sejak itu rata-rata penonton berkongsi pendapat dan respon berbeza di media sosial berhubung kesudahan filem berkenaan.

Misteri Dilaila yang membariskan pelakon seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Nam Ron dan Mas Khan itu bakal menemui penonton di Indonesia bermula 13 Mac 2019.
Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser. Pada malam pertama di sana, Jefri diganggu kejadian aneh.
Keesokannya, Jefri mendapati isterinya hilang. Imam Aziz (Nam Ron) pula muncul membawa khabar gembira.
Dia memberitahu, isteri Jefri sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.
Tetapi wanita itu mengakui dirinya Dilaila.
Sejak itu persoalan dimainkan di otak penonton mengenai siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan.
