Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Elly Mazlein teringin solat berjemaah bersama suami

Sudah dua tahun menjanda, kini naluri Elly Mazlein semakin kuat mendesak mahukan sesuatu yang dibayangkan sejak lama dulu.

Dia teringin benar solat berjemaah dengan seorang suami.

Kata Elly pengalaman itu tidak pernah dialaminya walaupun ketika bergelar isteri suatu ketika dulu.

Justeru katanya dia mengutamakan seorang lelaki yang boleh menjadi imam sekali gus membimbingnya menjadi isteri yang solehah suatu hari nanti.

Mengakui kini sudah ada seseorang yang boleh dianggap sebagai calon untuk menjadi imamnya, penyanyi Bungaku Bakawali itu berkata mereka kini dalam proses saling mengenali hati budi.

Namun Elly berkata pada dasarnya lelaki terbabit semakin hampir menjadi takdir jodohnya kerana selalu mementingkan aspek agama dalam kehidupan seharian.

“Setiap subuh dia akan tanya sama ada saya dah solat atau belum.... ini membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk solat berjemaah dengan dia," katanya.

Jumpa orang tua bulan depan

Menurut Elly jika keluar bersama, pemuda terbabit akan pergi ke mana-mana masjid atau surau berhampiran untuk solat apabila tiba waktunya.

Melayan anaknya Putri Sara Sephia, Elly berkata lelaki terbabit sering meluangkan masa dengan Sephia - yang hadir hasil pernikahan pertama penyanyi terbabit - jika ada kesempatan.

Kata Elly apa yang dilakukan lelaki itu menunjukkan hubungan mereka kini dalam keadaan yang begitu baik.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ditemui pada sidang akhbar program Bintang Bersama Bintang Musim ketiga di Sri Pentas, Petaling Jaya hari ini.

Anak kelahiran Slim River, Perak itu dipilih menjadi hos rancangan berkenaan.

Menjelaskan lagi latar belakang lelaki tersebut, Elly berkata dia ialah kakitangan kerajaan dan mereka mula berkenalan sejak Ogos tahun lalu.

Ditanya mengenai perancangan mereka Elly berkata jika semuanya berjalan lancar dia akan bertemu ibu bapa teman lelakinya itu bulan depan.

Kata Elly, 38, teman lelakinya itu lebih muda daripadanya dan mempunyai keluarga besar.

"Dia anak kelapan daripada 13 beradik.

"Saya memang teruja sangat untuk mengenali keluarganya dengan lebih dekat sebab saya tak ada keluarga besar,” katanya.

Pada masa sama, Elly berkata sekiranya jodohnya ditakdirkan dengan pemuda itu, dia ingin melangsungkan majlis perkahwinan hanya secara sederhana.

Elly pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan mereka bercerai pada 15 Oktober 2016.

Lihat Komen
ADS