Pengerusi Finas Datuk Samsuni Mohd Nor berkata tanpa sistem urus tadbir yang betul, sukar bagi Finas untuk mencapai apa sahaja sasaran yang ditetapkan.

"Saya umpamakan Finas seperti sebuah kereta. Sekarang ni kena overhaul dulu, tukar dan baiki apa yang patut. Bila sudah elok dan cantik, baru boleh jalan, baru boleh tentukan siapa penumpang dan ke mana kita nak pergi," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Skrip Skrin 2018, di Kuala Lumpur hari ini.

Tanpa mahu menyatakan tempoh masa yang diperlukan Finas untuk membetulkan keadaan, Samsuni menjelaskan sokongan yang diterima sejak memegang jawatan itu pada Disember lepas sangat baik.

Beliau berkata Finas juga telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak kementerian menyatakan Finas berada di landasan yang betul.

“Cuma kami diminta agar lebih pantas. Kami boleh ‘speed up’ tapi kena tengok kemampuan kewangan, tadbir urus dan pelbagai aspek lagi," katanya.

Sementara itu, Samsuni berkata beliau berpuas hati dengan penyertaan pertandingan Skrip Skrin yang julung kali dianjurkan Finas dalam usaha menarik lebih ramai menulis skrip bergenre dokumentari.

"Kami terima lebih 300 penyertaan dan sebagai permulaan, ia amat menggalakkan. Ini juga cara kami mendedahkan perkara-perkara belakang tabir seperti penulisan dan penghasilan skrip berkualiti yang selalu orang ramai terlepas pandang. ​

"Selepas ini, kami akan buat post-mortem dan perbincangan dengan semua pihak terutama universiti. Jika maklum balas yang diterima positif, tidak mustahil anugerah ini akan diadakan setiap tahun dengan disertakan penambahbaikkan," katanya.

Anugerah Skrip Skrin 2018 yang bertemakan Inspirasi Malaysiaku menampilkan tiga kategori iaitu anugerah Dokumentari, Pesanan Khidmat Awam dan Kategori Video Pendek Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTA dan IPTS).

Bagi kategori Dokumentari, naskah Ragam Tak Bersambut Zapin Pulau oleh Surrayatul Natasya Keristifa muncul juara dalam kategori Dokumentari Kesenian dan Warisan dan membawa pulang RM15,000, trofi serta sijil penyertaan.

Shahrul Azli Mohd Shukor pula mengungguli kategori Dokumentari Sejarah dan Tokoh menerusi naskah skrip berjudul Dari Colombo ke Jalan Utara, Kisah Zain Hussain manakala skrip hasil karya Abdul Hamid Abdullah yang bertajuk Enggang Unik Sabak Bernam muncul juara kategori Dokumentari Pemuliharaan Hidupan Liar.

Bagi kategori Pesanan Khidmat Awam, Mohd Farizullah Othman muncul juara menerusi naskah Balik Kampung, manakala kategori Video Pendek IPTA dan IPTS diungguli oleh Muhammad Hafizuddin Mat Saberi yang menghasilkan naskah 'Along'.

Sementara itu, bekas ketua pengarah Filem Negara Malaysia Shaharoom Shahaban, yang baharu menyambut ulangtahun ke 80 pada Khamis lepas, menerima anugerah “Lensa Emas” pada majlis itu atas jasa dan sumbangannya dalam industri berkenaan, di samping membangunkan kandungan penerbitan berkualiti termasuk penulisan, penerbitan, pengakriban dan khazanah negara.

Shaharoom, anak kelahiran Bentong, Pahang memulakan kariernya sebagai pegawai penerangan sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang penerbitan di United Kingdom, pernah bertugas di RTM pada tahun 1970an dan kemudian kembali bertugas di Filem Negara pada 1981 sebagai pengarah urusan penerbitan sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Filem Negara pada 1987.

Beliau pernah memenangi anugerah Filem Warna Terbaik kategori bukan drama di Festival Filem Asia Pasifik pada tahun 1971 di Taipei, Taiwan bagi dokumentarinya mengenai Pulau Pinang bertajuk ‘Pearl of Orient’.

- Bernama