Ketika pihak lawan menyerang Joko Widodo dengan memainkan sentimen agama dan bangsa, penyanyi Afgan tetap tegar memberikan sokongan kepada bekas peniaga perabot itu.

Kata Afgan, dia yakin Jokowi - nama panggilan untuk presiden Indonesia itu - tetap memiliki kewibawaan sebagai pemimpin negara.

Ketika tampil menghiburkan penyokong Jokowi di Istora Senayan semalam, Afgan meluahkan hasratnya untuk melihat presiden ketujuh Indonesia itu diberi mandat sekali lagi oleh rakyat negara itu untuk meneruskan khidmatnya.

“Saya sangat gembira, tepuk tangan untuk bapak presiden kita, Pak Jokowi. Semoga terus jadi presiden kita,” katanya di majlis Festival Satu Indonesia itu.

Untuk rekod, angka satu merujuk kepada nombor Jokowi dan regunya bagi jawatan timbalan presiden, Ma'ruf Amin, manakala pencabar mereka - Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno - menggunakan nombor dua.

Pemilik nama penuh Afgansyah Reza itu pada masa sama merayu agar pengundi terutama terdiri daripada generasi muda turut mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden pada 17 April ini.

Kata Afgan, 29, masa depan Indonesia berada di tangan para pengundi, dan di tangan Jokowi pula negara itu mampu menjadi lebih baik.

Tinggal 36 hari lagi

“Di tangan Jokowi, Indonesia menjadi lebih baik lagi. Jangan lupa untuk mengundi, untuk Indonesia jadi lebih baik lagi,” kata penyanyi lagu Untukmu Aku Bertahan itu.

Sebelum ini kumpulan penyokong Prabowo dituduh mendalangi kempen hitam memburuk-burukkan Jokowi menggunakan sentimen perkauman dan agama.

Antara lain mereka menyebarkan dakyah kononnya kerajaan Indonesia akan melarang azan dikumandangkan jika Jokowi memenangi pemilihan nanti.

Turut disebarkan, kerajaan Indonesia akan menghalalkan pernikahan sejenis.

Dakwaan itu disebarkan walaupun gandingan Jokowi - iaitu Ma'ruf - ialah pengerusi Majlis Ulama Indonesia.


Baca 'Jokowi menang, azan dilarang'


Sementara itu dalam ucapannya Jokowi meminta agar generasi muda tidak mengambil sikap berkecuali dalam pilihan raya kali ini.

Katanya tanpa penyertaan golongan putih - nama yang merujuk kepada kumpulan enggan menyertai pemilihan - akan menyukarkan masa depan Indonesia.

Pada masa sama Jokowi berharap mereka membantu memberikan gambaran yang benar mengenai wawasannya.

“Saya ingatkan, tinggal lagi 36 hari lagi sebelum pilihan raya, sokongan kita menurun kerana fitnah dan penipuan.

"Saya minta kalian bertindak-balas dengan cepat,” katanya.