'Vanessa sering fikir hidupnya lebih baik berakhir'
Diterbitkan: Mar 21, 2019 6:04 PM
⋅
Dikemaskini: 10:04 AM
Vanessa Angel yang kini menjalani hukuman penjara dikatakan sering mengalami masalah kesihatan selain beranggapan "hidupnya lebih baik berakhir".
Hal itu didedahkan oleh bekas rakan duet Vanessa, Nicky Tirta selepas dia melawat pelakon yang juga penyanyi itu di Penjara Polis Daerah Jawa Timur baru-baru ini.
“Kelmarin saya mengunjungi Vanessa di Surabaya. Bukan mudah menjadi seorang Vanessa apabila dia beranggapan ini merupakan titik terendah dalam hidupnya.
“Dia seringkali berfikir lebih baik hidupnya berakhir saja,” katanya di Instagram.
Vanessa, 27, dicekup polis ketika berada di ranjang bersama seorang lelaki di sebuah hotel mewah.
Lelaki terbabit disyaki pelanggan yang mendapatkan khidmat memuaskan nafsu yang membuat pesanan secara dalam talian.
Sementara itu, Nicky juga berkata, dia berusaha meniupkan semangat positif kepada Vanessa selain menghiburkannya dengan pelbagai perkara.
“Saya putuskan untuk membicarakan lebih banyak hal-hal yang positif.
"Saat bertemu kita tak bicara pengalaman pahit dan kesedihan yang dia banyak rasakan saat ini,” katanya.
Tambah Nicky, untuk terus bersikap positif, Vanessa berpeluang menimba ilmu dan banyak bermuhasabah diri.
“Banyak waktu dan fokusnya semakin dekat kepada Tuhan, banyak doa setiap hari meminta perlindungan dan kekuatan menghadapi semuanya.
“Dia juga semakin ke depan dan akan menjadi manusia jauh lebih baik. Dia semakin kuat dengan segala dugaan hidup yang didepaninya,” katanya.
Nicky juga mengajak Vanessa untuk kembali berduet sebaik wanita itu dibebaskan dari penjara nanti.
“10 tahun saya kenal, dan selama itu juga saya lihat bakatnya besar.
“Jika sudah bebas nanti, kami berdua boleh berkarya dan berduet lagi. Saya berikan keyakinan bahawa ini merupakan titik awal yang baru untuk hidupnya.
“Manusia tidak ada terlepas daripada apa pun, manusia tidak ada yang sempurna,” katanya.