Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nina belum beri kata putus mohon maaf 'pemfitnah'

Meski permohonan maaf sudah dibuat secara terbuka dan menerusi panggilan telefon, namun ia masih belum dapat dipastikan statusnya sama ada diterima Nina Iskandar atau tidak.

Peguam Nina, Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pelakon terbabit sedang mempertimbangkan permohonan maaf tersebut dan akan memberikan arahan selanjutnya selepas ini.

“Individu berkenaan ada menelefon pejabat kami untuk menyatakan hasratnya. Tapi kami menghantar notis tuntutan berkenaan secara rasmi dan ia perlu dijawab secara rasmi.

“Bagaimanapun, pihak kami ambil maklum dengan hasrat beliau dan akan dapatkan arahan lanjut daripada anak guam.

“Kami akan maklumkan padanya proses seterusnya agar dapat buat permohonan maaf tersebut secara rasmi,” katanya kepada Malaysiakini.

Tiga pihak didakwa

Terdahulu, notis tuntutan diserahkan kepada tiga pihak yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah ke atas pelakon kelahiran Brunei itu.

Notis itu menuntut beberapa perkara antaranya, kesemua pihak bertanggungjawab memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari - sebelum tempohnya berakhir esok - selain menarik balik sebarang kenyataan berbaur fitnah.

Nina didakwa menjalin hubungan sulit dengan seorang penolong pengarah drama yang dibintanginya dan isu itu menjadi tular di media sosial selepas dilaporkan media yang memetik sumber.

Laporan mendakwa, perbuatan Nina menyebabkan keruntuhan rumah tangga kru produksi terbabit bersama isterinya yang dibina selama sembilan tahun.

Susulan itu, seorang jurusolek dikenali sebagai Elle Rahman hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka melalui akaun Facebook miliknya berhubung kenyataan dibuatnya sebelum ini.

Dalam hantaran tersebut, Elle berharap Nina dapat memaafkan dirinya selain berjanji tidak akan mengulangi perkara yang telah terjadi.

“Dengan merendah diri saya meminta maaf kepada @ninaiskandar atas apa yang berlaku. 

"Saya janji tidak akan ulangi. Saya harap Nina akan maafkan saya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Mohd Irwan, hingga kini pihaknya masih menunggu jawapan daripada dua lagi pihak berhubung tuntutan permohonan maaf.

Lihat Komen
ADS