Fasha sedih tingalkan 'kelab ibu tunggal'
Selepas empat tahun memegang status janda, hati pelakon Fasha Sandha akhirnya kembali berbunga dengan cinta baru.
Fasha bakal meninggalkan status itu bagi mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya yang juga pelakon, Aidil Aziz.
Namun, ada perkara yang membuatkan wanita berusia 34 tahun itu sedih untuk meninggalkan status janda atau ibu tunggal itu, lapor Harian Metro.
Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan pada malam berinainya dipetik sebagai berkata dia mengakui berasa sedih mengenangkan kehidupannya sebagai ibu tunggal sebelum ini.
“Bukan mudah pegang status janda. Bukan semua orang suka namun bagi saya ia melambangkan kekuatan wanita atau ibu tunggal apatah lagi jika memiliki anak.
“Alhamdulillah, sepanjang lebih empat tahun ini, saya berjaya mengharunginya dan sekarang bersedia meninggalkan status itu serta bakal keluar daripada ‘kelab ibu tunggal’ yang disertai bersama beberapa rakan artis sebelum ini,” katanya.
Tambah Fasha, dia tetap berbangga dengan pengalaman menjadi ibu tunggal selama empat tahun dalam membesarkan dua anak, Putra Rayfal, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 5.
Meskipun berdepan beberapa dugaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan, Fasha menjelaskan menerusi perkahwinan kedua ini, dia rasa lebih seronok dan dihargai.
Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 18 November 2018.
Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012, namun bercerai pada 20 Januari 2016.

