Delegasi Jururawat Malaysia (DON) akan membuat laporan polis dalam masa terdekat susulan artikel disiarkan sebuah akhbar semalam berhubung isu permohonan maaf dan ganti rugi bernilai RM2 juta yang dibuat Linda Rafar.

Presiden DON - yang identitinya tidak didedahkan - menyifatkan kenyataan pelakon dan penyanyi terbabit yang disiarkan melalui artikel berkenaan sebagai fitnah.

“Pihak persatuan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat atas tuduhan-tuduhan selebriti berkenaan dalam artikel di akhbar tersebut kerana ia berunsur fitnah,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, badan bukan kerajaan itu menegaskan pihaknya tidak pernah berhasrat untuk memulakan sebarang tindakan guaman dengan menuntut RM1 juta daripada anggota kumpulan Elite terbabit.

“Kenyataan selebriti terbabit di dalam artikel berita tersebut adalah tidak benar di mana pihak persatuan tidak pernah berhasrat untuk memulakan sebarang tindakan guaman sehingga ingin menuntut wang RM1 juta terhadap selebriti berkenaan.

“Sebaliknya, selebriti tersebut yang telah menuntut wang sebanyak RM2 juta dari pihak persatuan menerusi notis tuntutan tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

Pemilik nama penuh Azlinda Rafar itu melalui peguamnya menghantar notis tuntutan maaf dan ganti rugi berjumlah RM2 juta kepada DON kerana didakwa menjejaskan reputasinya sebagai anak seni.

Tindakan itu dibuat ekoran pihaknya mendapati tiada sebarang inisiatif positif daripada DON untuk membuat permohonan maaf.

Kata Linda, dia telah memberi peluang, bersikap terbuka dan masih mempunyai sifat berperikemanusiaan untuk berbincang bagi menyelesaikan konflik tersebut.

Namun, sangkaannya itu meleset selain mendakwa DON cuba mengaut keuntungan daripada isu yang tercetus.

Jadi pemudah cara

Linda pada Januari lalu menuntut kira-kira 100 individu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial atau mereka boleh berdepan tindakan undang-undang.

Semuanya berpunca selepas Linda memuat naik keluhannya ke atas jururawat yang didakwa biadab di sebuah hospital di Shah Alam sewaktu merawat arwah ibunya, Rasimah Abd Rahman yang masih hidup ketika itu.

Persatuan itu juga memaklumkan pihaknya tidak pernah dihubungi atau dijemput bagi mengadakan sebarang perbincangan oleh selebriti berkenaan atau wakil-wakilnya sepanjang masa sebelum penerimaan surat notis tuntutan tersebut.

Mengulas mengenai dakwaan Linda berhubung tiada respond selepas notis tuntutan diserahkan, DON menjawab pihaknya telah menerima sesalinan surat menerusi email pada 28 Mac lalu.

“(Namun), surat tuntutan yang bersifat fizikal masih tidak diterima oleh pihak persatuan,” kata kenyataan itu lagi.

Pada masa sama DON turut mengingatkan kes saman seorang jururawat ke atas Linda masih berlangsung dan dijangka memulakan perbicaraan sekitar Mei depan.

“Pihak persatuan hanya menjadi pemudah cara bagi membantu jururawat yang difitnah oleh selebriti tersebut. Diingatkan sekali lagi, kes saman jururawat tersebut bukan melibatkan kes cadar tetapi adalah kes saman fitnah.

“Pihak persatuan tidak akan memfailkan sebarang tindakan guaman di atas nama persatuan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kesemua ahli-ahlinya yang berdaftar,” kata kenyataan itu.