Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
6 bulan baru beritahu mengandung, apa cerita?

Pelakon Juliana Evans mempunyai sebab-sebab tertentu mengapa dia tidak mendedahkan kehamilan pada peringkat awal usia kandungannya.

Kata isteri Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al- Hajj itu, dia merahsiakan kehamilan tersebut selepas dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian.

“Saya dinasihatkan untuk tidak menghebohkan sebarang berita, yalah sebab tiga bulan pertama, macam-macam perkara mungkin boleh berlaku,” katanya.

 Pemilik nama penuh Juliana Sophie Johari Evans itu hadir baru-baru ini pada majlis Festival Filem Malaysia ke-30 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Sabtu lalu.

Sehari sebelum itu, Juliana memberi kejutan kepada peminat apabila mengumumkan bakal menimang cahaya mata suatu hari nanti.

Untuk rekod, kandungan pelakon filem Pulang itu kini memasuki usia enam bulan.

Menurut aktres berkenaan, dia juga perlu menunggu masa dirasakan sesuai sebelum boleh berkongsi berita gembira itu kepada umum.

“Masa tu tak sesuai, tapi sekarang saya sudah yakin,” katanya.

 Berkongsi lanjut mengenai pengalaman berbadan dua, Juliana berkata, pada fasa awal kandungan itu dia mengalami sedikit alahan.

Bagaimanapun, katanya, tempoh itu telah berakhir selain dia amat bersyukur apabila perjalanannya sebagai bakal ibu semakin dipermudahkan.

“Bulan pertama dan kedua ada kesukaran sikit, tapi lepas tu saya amat gembira dengan kehamilan ni. Mudah dan untunglah suami saya,” katanya.

Juliana juga berharap, dia dan suaminya dikurniakan cahaya mata perempuan memandangkan keluarganya dan belah suami terdiri daripada ramai saudara lelaki.

“Kalau boleh nak anak perempuan sebab belah keluarga tak ramai perempuan dan belah suami pun banyak lelaki,” katanya.

Juliana dan suaminya, Shariffuddin mendirikan rumah tangga pada 30 April 2017.

Lihat Komen
ADS