Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Pengarah, pelakon Nur 2 akui kesilapan bacaan Quran

Diterbitkan

Sutradara Nur 2, Shahrulezad Mohameddin, sudah mengarahkan agar kesilapan pada adegan drama bersiri itu dibetulkan selepas ia ditayangkan di TV malam tadi.

Katanya sebagai pengarah, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan berkenaan yang dianggapnya memang tidak wajar berlaku sama sekali, terutama membabitkan bacaan al-Quran.

“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan yang tak sepatutnya berlaku.

"Ayat al-Quran bukan sesuatu yang boleh dibuat silap. Salah sebutan pun jadi lain maksudnya, esok bakal ditanya... takutnya," kata Shahrulezad di Instagram hari ini.

Menyedari kesilapan pada babak episod pertama Nur 2 malam tadi Shahrulezad mengarahkan agar kru produksi merakam semula bacaan ayat al-Quran itu dengan betul.

Adegan itu katanya akan dimasukkan semula ke episod tersebut bagi menggantikan kesilapan berkenaan.

Versi diperbaiki itu akan terbuka untuk orang ramai di portal tonton.com dan iflix.

Terima kasih kerana tegur

Isu itu dibangkitkan seorang pengguna Twitter, Afifi Hassan, melalui teguran agar pihak produksi menyemak bacaan al-Quran pada episod pertama.

Kata Afifi terdapat beberapa kesalahan jelas dalam bacaan petikan ayat 96 hingga 99 surah ali-Imran itu.

“Kepada tuan penerbit TV3, saya berharap tuan dapat menyemak terlebih dahulu bacaan al-Quran pada episod pertama kerana terdapat beberapa kesalahan besar dan jelas,” ciapnya.

Shahrulezad dengan merendah diri juga memohon maaf atas kecuaian yang berlaku.

 

“Yang khilaf daripada saya. Sekali lagi saya dengan rendah memohon ampun dan maaf di atas kecuaian ini.

Sementara itu, pelakon yang terbabit dalam kesilapan bacaan tersebut, Atiq Azman turut meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya.

“Saya minta maaf atas kesalahan yang saya lakukan. Terima kasih kepada yang menegur. Ya, ayat al-Quran tak boleh saja-saja baca, takut lari maksud.

“Atiq terlalu yakin dengan bacaan sampai salah baca. Minta maaf kerana tak sengaja terbaca begitu. Allahu, terima kasih atas teguran semua,” katanya yang membawa watak Mirul dalam Nur 2.

Segelintir netizen dilihat memuji sikap Shahrulezad dan Atiq yang terus positif meskipun mendapat teguran terbuka.

“Syukur dengan teguran mereka tak melatah, kita makin respek,” kata pengguna akaun @fir8a0s.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.