Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aksi atas ranjang OK, bawa watak lembut tak OK

Di sebalik usianya yang lanjut pelakon Wan Hanafi Su berkata dia sedia menjayakan adegan di ranjang asalkan ia tidak keterlaluan.

Dia juga tidak menolak melakonkan babak berkenaan sekiranya relevan dengan jalan penceritaan sesuatu naskhah.

Menurut Wan Hanafi, keterbukaannya juga bergantung kepada kemahuan seseorang pengarah yang mahu menterjemah sesebuah skrip namun ia tidaklah sehingga menjurus kepada aksi pornografi.

“Saya akan buat babak tu jika tiada unsur lucah.

“Bagi saya selagi mempunyai jalan cerita berkaitan, ia bukanlah satu isu besar, dan ia boleh dipertimbangkan,” katanya.

Wan Hanafi ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Bu, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

Filem itu bakal menjengah pawagam di seluruh negara 11 April ini.

Tak jawab sepatah pun

Antara beberapa syarat lain diletakkan pelakon filem Lelaki Harapan Dunia itu ialah, sejauh mana pengarah boleh menyelitkan unsur yang boleh mendidik penonton.

Walaupun begitu ada satu perkara yang 'pantang' dan seboleh-bolehnya mahu dielak oleh Wan Hanafi. Dia 'mengharamkan' dirinya membawa watak lelaki lembut atau mak nyah.

Katanya, larangan itu sebenarnya datang daripada pihak isteri.

“Dia memang tak izinkan,” katanya.

Ditanya apakah dia tahu alasan si isteri melarang, Wan Hanafi berkata, dia tidak tahu.

Bagaimanapun, Wan Hanafi berkata dia sentiasa menghormati permintaan isterinya itu.

“Saya ada tanya sebab musababnya tapi dia langsung tak jawab soalan sepatah pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS