Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wan Hanafi syak dia cuba 'dijahanamkan' di layar perak

Sedih dan kecewa antara perasaan diluahkan pelakon berbakat besar Wan Hanafi Su apabila ada segelintir pihak didakwanya cuba ‘menjahanamkan’ kerjayanya di layar perak atas agenda tertentu.

Wan Hanafi berkata, dengan kelebihan yang ada pada mereka periuk nasi pelakon boleh dimasuki pasir melalui cara yang halus.

Caranya, kata Wan Hanafi, mereka menyunting kemunculan pelakon dalam babak tertentu sesebuah produksi pada proses akhir penerbitan.

“Dengan cara suntingan, seseorang tu boleh jatuhkan kita," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menjelaskan dakwaan itu Wan Hanafi merujuk kepada filem yang dibintanginya.

Di sebalik pembabitannya sebagai salah seorang pelakon, kata Wan Hanifi, dia menghidu ada sesuatu yang tidak kena apabila dalam terbitan tersebut kemunculannya menjadi 'misteri'.

"Untuk satu filem ni... suara saya ada, tapi wajah saya tak ada dalam tu.

“Kalau dah edit, dialog sampai dua tiga kali ada tapi gambar (visual) kita tak ada, mesti ada something wrong,” katanya.

Tak rela bayangi pelakon lain

Pelakon filem Laga itu memberitahu, terdapat beberapa kemungkinan menyebabkan sesebuah produksi sanggup bertindak sedemikian.

“Sama ada shot kita rosak, ataupun mereka sengaja buat macam tu.

“Mungkin ada agenda, kita tak tahu. Penyunting jalankan tugas atas arahan pengarah, dan pengarah pula jalankan kehendak penerbit.

“Boleh jadi juga terdapat masalah teknikal, ataupun sebenarnya ada hati seseorang yang rosak,” katanya.

Mengulas lanjut, kata pelakon itu, ada segelintir produksi menggunakan kaedah tersebut untuk “mematikan” seseorang pelakon.

Dia yang turut dikenali dengan kemunculan dalam filem Bunohan berkata sesebuah karya itu bermula di tangan pengarah sebelum berpindah ke pihak penyunyting.

“Dia (penyunting) orang terakhir yang buat kerja untuk menghidupkan atau mematikan pelakon.

“Kalau dia ada agenda dan berniat jahat, dia boleh buat. Jangan fikir kerja kreatif ni 100 peratus ikhlas,” katanya.

Menambah kecewa, kata Wan Hanafi, 69, pernah satu ketika dia dimaklumkan pihak produksi perlu menyunting suaranya supaya tidak 'lebih menonjol' berbanding suara watak utama.

“Ada satu filem tu, lepas proses dubbing dan apabila filem ditayangkan, saya dengar suara saya serupa macam tahi. Saya malu.

“Apabila saya bertanya, saya dimaklumkan mereka bertindak demikian kerana tak nak suara saya mengatasi suara hero,” katanya.

Ditanya adakah dia pernah benar-benar pernah cuba membayangi (overshadow) watak utama, Wan Hanafi menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut.

Katanya, dia tidak akan sesekali akan 'mematikan' watak dibawakan pelakon lain.

“Tu perkara paling tak berani dan tak rela nak buat. Tapi kena ingat, kadang-kadang seseorang pelakon yang pegang watak utama takkan jadi hero dalam semua babak.

“Pelakon tak boleh ada niat mematikan watak orang lain, sebab teruknya nanti kita juga. Orang akan tanya kenapa dia lebih-lebih pulak,” katanya.

Lihat Komen
ADS