Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal raih RM25 juta
Diterbitkan:  Apr 11, 2019 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les' Copaque Production meraih kutipan sebanyak RM25 juta hanya selepas tiga minggu ditayangkan dengan jumlah penonton mencecah 2 juta.

Ia sekali gus mencatat rekod kutipan tertinggi sepanjang zaman bagi kategori filem animasi di pawagam Malaysia, mengalahkan filem antarabangsa Incredibles 2 yang memegang rekod tersebut sebelum ini.

"Lebih membanggakan apabila jumlah penonton tersebut tidak pernah dicapai sebelum ini dan menjadi penanda aras baru bagi filem tempatan. 

"Ia dijangkakan akan meningkat pada hari minggu yang akan datang," kata kenyataan dikeluarkan Les' Copaque.

Menurutnya, kos penerbitan filem ini yang menelan belanja hampir RM 20 juta, menjadikan ia filem termahal Malaysia dengan menggunakan sepenuhnya kepakaran anak-anak tempatan.

"Ia dilihat sebagai satu penanda aras baru terhadap mutu industri animasi tempatan dalam semua aspek setanding dengan karya-karya antarabangsa.

"Diharapkan ia dapat mengumpul kutipan yang membanggakan dengan sokongan dari rakyat Malaysia untuk menonton di pawagam dan mengelak dari melakukan rakaman untuk dimuat naik ke media sosial," jelas kenyataan tersebut.

Filem animasi ini mengaitkan watak watak-watak hikayat dongeng Melayu lama seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam dan banyak lagi.

Menurut Les Copaque, lagu tema dan animasi Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal turut mendapat pujian netizen yang meletakkannya setanding dengan filem animasi antarabangsa.

Lihat Komen
ADS