Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fizz Fairuz: Datang berdepan minta maaf atau aib terdedah

“Saya akan cari dia sampai ke lubang cacing,” begitu kata pelakon Fizz Fairuz berhubung pemilik akaun Instagram yang berselindung di sebalik nama "mak cik puaka" kerana didakwa memfitnah kononnya dia ditangkap khalwat baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, Fizz turut mengancam untuk menyeret pemilik akaun terbabit ke muka pengadilan sekiranya gagal bersemuka dan membuat permohonan maaf.

Kata pemilik nama penuh Mohd Fairuz Zainal Abidin itu, dia memberi tempoh hingga tengah malam ini untuk pemilik akaun Instagram berkenaan membuat permohonan maaf secara lisan seperti yang dituntut.

“Saya akan heret dia secara terbuka.

“Saya akan buat demikian kalau dia masih enggan bertemu empat mata dan mohon maaf atas dakwaan fitnah dilemparkan ke atas saya,” katanya hari ini.

Fizz, 39, ditemui pada majlis pengumuman Star Vendor Mega Raya Fest yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Antarabangsa, Kuala Lumpur mulai 24 hingga 27 Mei.

Baru-baru ini dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang lelaki bergelar Datuk Seri dicekup ketika berada di Pulau Perhentian, Terengganu bersama pasangannya.

Tak tolak ansur lepas ni

Walaupun tidak dikaitkan sebagai individu terbabit secara langsung, pengendali akaun terbabit memberi bayangan lelaki tersebut merupakan suami kepada pelakon Almy Nadia itu.

Bapa kepada tiga anak itu memberi tempoh seminggu kepada pemilik akaun sekiranya tidak mahu berdepan saman.

Untuk rekod, pengendali akaun tersebut membuat permohonan maaf melalui akaunnya dan mengaku membuat andaian berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengikutnya yang berada di Terengganu pada ketika itu.

Fizz bagaimanapun menolak permohonan maaf yang dilakukan atas alasan ia tidak memadai.

“Memang akaun tersebut ada membuat permohonan maaf menerusi Insta Story minggu lalu tetapi saya sudah nyatakan bahawa saya mahukan secara lisan atau bertemu secara empat mata.

“Tidak kisah kalau dia buat secara peribadi tapi saya mahu dengar sendiri dia minta maaf.

“Dia boleh telefon atau datang jumpa saya, janji sebelum tengah malam ini,” katanya.

Tambah pelakon Mat Tudung itu, jika permintaannya tidak dipenuhi, dia akan mengadakan sidang media esok bagi mendedahkan siapa identiti individu di sebalik akaun @makcikpuaka itu.

“Saya kalau boleh tidak mahu membuka aib sesiapa jadi saya masih bagi peluang untuk individu itu minta maaf secara peribadi.

“Jika dia enggan, saya tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini,” tegasnya lagi.

Lihat Komen
ADS