Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fizz Fairuz lapor polis terhadap Makcik Puaka
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 10:23 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Selepas tamat tempoh 24 jam yang diberikan, pelakon Fizz Fairuz akhirnya membuat laporan polis kepada pemilik akaun Instagram yang berselindung di sebalik nama "Makcik Puaka" setelah individu terbabit gagal membuat permohonan maaf secara lisan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Saya sudah beri tempoh hingga tengah malam tadi kepada individu terbabit untuk tampil bersemuka.

“Saya tambah beri masa hingga tengah hari tadi, namun tiada maklum balas. Peguam menyarankan saya untuk membuat laporan polis,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 2 petang tadi.

Minggu lalu, pengendali akaun gosip dengan nama Makcik Puaka menyebarkan berita dengan memberi gambaran seakan-akan Fizz adalah individu bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.

Susulan itu Fizz memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang mengaitkannya dengan isu berkenaan.

Dalam pada itu, Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin mendakwa individu terbabit adalah dalam kalangan penggiat industri seni.

“Saya menyerahkan bukti kukuh kepada pihak polis untuk memudahkan siasatan. Kita hanya perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Fizz bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan yang dibuat atas nasihat peguam.

“Soal sama ada akaun terbabit dikendalikan seorang individu atau tidak, semuanya sudah dikongsikan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS