Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ukraine kini dipimpin pelawak terkenal
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 9:33 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

GLOBAL | Seorang pelawak yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pentadbiran kerajaan memenangi pilihan raya presiden Ukraine, semalam.

Volodymyr Zelensky - yang sebelum ini pengalaman politiknya hanyalah memainkan watak presiden dalam sebuah rancangan televisyen - menewaskan penyandang Petro Poroshenko dengan meraih 73 peratus undi menurut kiraan akhir.

Poroshenko, 53, meraih hanya 25.5 peratus undi dan kalah kepada pelawak serta pelakon berusia 41 tahun itu.

Jumlah yang keluar mengundi adalah 62 peratus.

Keputusan pilihan raya Zelensky yang bermula sebagai jenaka itu menggambarkan kekecewaan rakyat Ukraine yang kini berdepan dengan pelbagai masalah ketidakadilan sosial, rasuah dan perang dengan puak pemisah di selatan negara itu dan mendapat sokongan Rusia.

Krisis berdarah itu setakat ini membunuh hampir 13,000 orang.

Bintang rancangan TV Servant of the People itu akan akan memimpin satu daripada negara termiskin di Eropah.

Negara memiliki kira-kira 45 juta penduduk itu sedang bergelut menghadapi kumpulan pemisah di kawasan perindustrian timurnya.

“Saya belum lagi secara rasmi presiden, tetapi sebagai warganegara Ukraine, saya boleh katakan kepada semua negara bekas Soviet: Lihatlah kami. Semuanya mungkin!” kata Zelensky kepada penyokongnya di ibu pejabat partinya.

Untuk rekod, Zelensky menamakan partinya sama seperti rancangan TV yang dikendalikannya, Servant Of The People.

Pemimpin dunia dari Eropah dan pelbagai negara lain turut menzahirkan ucapan tahniah kepada presiden baru Ukraine itu.

Kempen politik pelawak itu tidak mengikut kaedah tradisional sebaliknya membuat persembahan lawak dan menggunakan media sosial untuk mendekati pengundi.

Presiden Ukraine berkuasa ke atas pertahanan, keselamatan dan dasar luar tetapi perlu mendapat sokongan parlimen untuk melakukan perubahan dasar lain.

Kebanyakan kerusi dalam parlimen dikuasai parti Poroshenko dan pilihan raya baru untuk parlimen dijangka diadakan pada Oktober.


Lihat Komen
ADS