Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lucinta Luna menangis, biar sahaja KPU putuskan

Lucinta Luna mungkin tidak popular di Malaysia, tapi di Indonesia, penyanyi dangdut itu sering mendapat liputan media dan usikan warga netizen.

Ketika masyarakat Indonesia sedang fokus dan membicarakan pasca pilihan raya Indonesia, Lucinta menangis semasa membuat live Instagram, memarahi selebriti popular, Deddy Corbuizer, kerana memanggilnya laki-laki.

Live Instagram semalam itu menjadi perbualan dalam kalangan netizen di Indonesia, dengan turut mengaitkan komen mereka dengan pilihan raya Indonesia ( Pemilu 2019).

Komen-komen nakal netizen, antaranya turut meminta Komisi Pemilihan Umum (KPU), yang kini sibuk menguruskan pengiraan undi Pemilu 2019, turut membuat pengumuman rasmi berhubung status jantina Lucinta Luna.

Malah terdapat netizen yang turut mengadakan tinjauan orang ramai menerusi Twitter dan di platform media sosial bagi mendapatkan kepastian jantina Lucinta itu.

KPU ketika ini masih dalam proses pengiraan kertas-kertas undi pilihan raya Indonesia, yang turut memilih presiden Indonesia 2019-2024, yang berlangsung 17 April lepas.

Berdasarkan pengiraan undi KPU setakat ini, Presiden Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya itu, bersama pasangannya untuk Naib Presiden, Ma'ruf Amin selesa mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Setakat 10 pagi ini, Jokowi-Ma'ruf mendahului 54.91 peratus daripada 116,077 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.

Sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak mengundi pada Pemilu 2019, mengundi pada 17 April lepas.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS