Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Berada di puncak, Nana pilih sikap merendah diri

Selepas kemenangan TOP TOP MeleTOP wanita di Anugerah Meletop Era 2019 (AME 2019), penyanyi Siti Nordiana membuktikan artis lama masih kukuh di persada seni hiburan.

“Sekarang ini memang ramai artis muda dan mereka sangat aktif di media sosial serta mempunyai ramai pengikut di Instagram.

“Kemenangan ini buat saya percaya yang artis lama masih relevan,” katanya yang telah 20 tahun menceburkan diri dalam bidang seni tanah air.

Namun begitu, penyanyi ini berkata dirinya tidak pernah berhenti untuk terus belajar supaya menepati selera peminat masa kini.

“Saya sendiri suka bertanya dan belajar dari artis baru. Antaranya cara nak menggunakan media sosial (Instagram).

“Ini semua penting kerana saya nak tahu bagaimana untuk mendekatkan diri dengan peminat generasi sekarang,” katanya.

Nana kini mempunyai lebih tiga juta pengikut di Instagram.

 Selebriti yang mesra disapa dengan nama Nana itu ditemui selepas berakhirnya AME 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil, Ahad lalu.

Menurut penyanyi lagu Memori Berkasih ini, dirinya bertuah dan dipermudahkan apabila dibantu oleh Wany Hasrita dan Khai Bahar.

“Mereka (Khai dan Wany) suka nyanyi lagu Nana dan bila lagu itu dikenali orang, nama Nana kembali meningkat naik.

“Nana sendiri pun banyak bertanya dan minta tunjuk ajar daripada mereka.

“Jadi saya (Nana) nak ucapkan terima kasih banyak-banyak juga kepada mereka,” katanya.

AME 2019 juga telah menyaksikan Nana membawa pulang satu lagi anugerah iaitu Hos MeleTOP.

Mengulas lanjut Nana berkata, dia sejujurnya berasa kerdil untuk menerima trofi Hos MeleTOP kerana merasakan terdapat ramai lagi pengacara yang wajar diberi pengiktirafan.

"Sejujurnya, untuk membawa pulang trofi ini, saya tak sangka langsung.

“Saya bersaing dengan hos yang berbakat besar serta berkaliber manakala saya pula masih lagi belajar.

Namun begitu, selebriti yang mula meningkat naik selepas menjuarai program realiti Gegar Vaganza musim kedua ini bersyukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang mengundi.

“Saya anggap ini sebagai kejayaan buat peminat yang tidak henti menyokong dan mengundi.

“Alhamdulillah, usaha mereka tidak sia-sia dan ini menjadi pemangkin untuk saya bekerja dengan lebih keras,” katanya.

Lihat Komen
ADS