Persatuan sastera perlu rangka KPI - Hamad
Pertubuhan bukan kerajaan termasuk persatuan kesusasteraan disaran menghasilkan rangka kerja komprehensif yang menjelaskan tujuan persatuan dan perencanaan aktiviti sebagai tanda aras keberhasilan serta keberkesanan melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Bekas tokoh korporat dan penyair, Hamad Kama Piah Che Othman berkata dengan adanya KPI ini, kegiatan persatuan dapat ditentukan supaya menjadi produktif dan keberhasilannya boleh diukur dengan jelas.
"Persatuan baharu terutamanya haruslah menjadi persatuan yang dapat dicontohi dalam pengurusan yang cekap walaupun kita sebuah organisasi sukarela," katanya ketika berucap merasmikan Kelab Pemuisi Nasional (Pemuisi) di Universiti Sains Islam Malaysia hari ini.
Hamad Kama Piah atau nama penanya R Hamkama berkata, dari sudut aktiviti, kelab itu mungkin dapat merencanakan kegiatan berimpak tinggi secara terancang sama ada berskala besar atau kecil.
Beliau yang juga penaung Pemuisi turut menyarankan agar kelab itu menganjurkan pertandingan menulis puisi bahasa Melayu pada peringkat kebangsaan, nusantara dan global bagi meningkatkan lagi jumlah khalayak puisi terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Pada majlis sama Hamad Kama Piah turut melancarkan dua antologi puisi karya ahli Pemuisi iaitu Antologi Puisi Bunga Cinta dan Perempuan 3 Wajah.
Pemuisi diterajui oleh sasterawan ternama tanah air antaranya Datuk Dr Radzuan Ibrahim selaku presiden, Dr Lim Swee Tin (timbalan presiden) dan Ismail Ahmad (setiausaha agung).
Turut mendukung kelab itu sebagai penasihat ialah dua Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan.
- Bernama

