Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kalau buka tudung, Che Ta rasa macam masuk neraka

Ketika beberapa artis wanita tempatan dilaporkan enggan lagi tampil bertudung, Rozita Che Wan pula membayangkan dirinya bakal menjadi penghuni neraka sekiranya dia mengambil langkah sama.

Kata Rozita - yang lebih mesra dipanggil Che Ta itu - dia tidak sanggup mengubah penampilannya yang sudah bertudung sejak lama dulu kerana takut azab seksaan di akhirat yang perlu ditanggungnya kelak.

“Saya rasa kalau buka tudung boleh terus masuk neraka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kad sim glamor MyPrepaid Edisi Ekslusif Rozita Che Wan di Petaling Jaya hari ini.

Enggan merujuk kenyataannya itu kepada mana-mana artis yang sudah membuka tudung, Che Ta sebaliknya menegaskan luahannya itu adalah untuk peringatan diri sendiri.

“Itu untuk diri saya. Siapalah kita untuk menghukum manusia lain.

“Kita tak boleh hukum dia tu dugaan dia (yang buka tudung) dengan Allah. Kena doa Allah bagi dia rahmat dan hidayah.

"Kita doa yang terbaik untuk dia,” katanya.

Baru-baru ini, selebriti seperti Emma Maembong dan Fathia Latiff mengejutkan peminat hiburan apabila membuat pengakuan tidak lagi akan tampil mengenakan tudung.

Kata pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu, selain beristiqamah, wanita yang ingin berhijrah menutup aurat perlu mendampingi rakan-rakan yang membawa nilai positif.

Tukar kawan-kawan

“Bila nak hijrah, tukar circle of friends (lingkaran rakan-rakan) supaya kekal istiqamah. Kita ini kalau nak ikut benda tak elok tu memang cepat,” katanya.

Bersyukur urusannya dipermudahkan, Rozita, 46, berkata keluarganya amat membantu perjalanannya melakukan hijrah satu ketika dulu.

“Alhamdulillah adik-beradik semua pakai tudung. Apabila ada masa berkumpul dengan adik-beradik lain kami akan bincang pasal agama.

“Jika nak like gambar orang tak pakai tudung pun haram. Sebab tu kalau nak muat naik gambar wanita tak bertudung, saya pakaikan dia tudung,” katanya secara berjenaka.

Sementara itu, mengulas kad prabayar ekslusif berkenaan, Che Ta berkata kerjasama dijalinkan dengan MyPrepaid merupakan satu penghargaan yang ingin diberikan kepada peminat kerana mereka sentiasa menyokong perjalanan kariernya sebagai anak seni.

Kata pelakon drama Kiah Pekasam itu, antara faedah boleh didapati setiap pengguna adalah perlindungan takaful kemalangan peribadi secara percuma.

“Pertama kali saya dengar kad sim bagi faedah begini iaitu dapat insurans bernilai RM1,500 kepada pengguna kalau mereka top up dan guna secara berterusan,” katanya.

Lihat Komen
ADS