Sekali lagi wajah artis tempatan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melariskan produk mereka.
Kali ini, pengacara Awal Ashaari pula yang mangsa apabila nama dan gambarnya digunakan bagi mempromosi perniagaan mata wang digital Bitcoin di Internet.
“Saya menerima mesej langsung (DM) mengenai nama dan imej yang digunakan pelbagai akaun ditaja di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Untuk makluman, saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana skim bitcoin atau apa saja yang didakwa mereka,” kata Awal di akaun Instagram miliknya.
Awal meluahkan kekesalan apabila ada pihak menyalahgunakan paparan dirinya dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara itu masih diteruskan.
“Jadi, siapa saja dalang di sebalik perkara ini tolong bertanggungjawab dan berhenti menggunakan nama atau imej saya bagi mengelakkan pengguna Internet keliru.
“Ini adalah komplot (scam) dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya yang kini berada di Hong Kong.
Baru-baru ini, nasib sama turut menimpa ratu jazz tanah air, Sheila Majid, apabila ada pihak menggunakan wajahnya untuk memperdaya pengguna sebuah jenama produk kecantikan.
Iklan tersebut juga mendakwa Sheila bakal menamatkan kariernya sebagai penghibur bagi menumpukan pada penjualan produk berkenaan.
