Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tindakan menteri amat menghina dan melukakan - Francissca

Membawa artis luar beraksi sempena tahun Melawat Malaysia 2020 merupakan satu tamparan dan penghinaan buat artis tempatan, kata penyanyi Francissca Peter.

Bukan itu saja, hasrat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengundang artis K-Pop, BTS dengan alasan demi meraih pendapatan negara juga dianggapnya tidak relevan.

“Ramai artis tempatan tidak gembira dengan hal ini. Mengapa nak dibawa masuk BTS sedangkan Malaysia sendiri mempunyai ramai artis hebat?

“Nampak sangat artis tempatan langsung tak dihargai apabila mereka bercadang nak bawa artis dari luar untuk acara besar-besaran di negara ini.

“Bagi saya ia suatu penghinaan malah amat melukakan perasaan,” katanya.

Francissca ditemui pada sidang media pengumuman konsert A Night with Legends yang diadakan di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

Selain Francissca, konsert yang dijadual berlangsung pada 6 Julai di Desaru Coast, Johor itu juga bakal menampilkan Ramli Sarip, Khadijah Ibrahim, dan Jamal Abdillah.

Tiga bintang yang akan menjayakan konsert "A Night with Legends"

Terdahulu, Syed Saddiq mengulas niatnya untuk membawa BTS kerana tidak rela Malaysia tewas daripada segi penganjuran konsert kepada negara jiran seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Beliau menginginkan Malaysia berada pada destinasi nombor satu dalam mengejar peluang tersebut selain berharap kemunculan artis antarabangsa dapat memberi kesan berganda dalam pelancongan.

Namun, Francissca yang popular dengan lagu Sekadar di Pinggiran itu mempertikaikan berapa pula nilai sanggup dihulur kerajaan bagi membolehkan hasrat membawa artis luar direalisasikan.

BTS

Kata Francissca, 57, perkara itu menjadi tanda-tanya sedangkan pada kebanyakan masa ramai penghibur negara terpaksa akur dengan bayaran rendah apabila diminta membuat sesuatu persembahan.

“Berapa nak bayar mereka RM2 juta, RM3 juta? Sedangkan kami dibayar rendah pada kebanyakan masa.

“Ada kalanya penganjur minta kami menyanyi minus one saja, macam nyanyi karaoke sebab lari bajet untuk bayar band pengiring,” katanya.

Francissca - yang juga diingati kerana lagu Kerna Terpaksa itu turut menuntut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi peluang setimpal kepada penghibur tempatan dalam mana-mana penganjuran konsert atau persidangan di negara ini.

“Kebajikan bermula di rumah, untuk menghargai artis tempatan, ia harus bermula dengan menyayangi kami.

“Jika mereka sanggup bayar artis tempatan sampai RM2 juta, RM 3 juta, dengan peruntukan sama, kami juga boleh berikan anda suatu persembahan yang tidak kurang bertaraf antarabangsa berserta jurutera bunyi terbaik,” katanya.

Lihat Komen
ADS