Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

WAWANCARA | Sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan imej Malaysia sebagai penganjur acara antarabangsa kerana pada ketika ini nama negara selaku destinasi hiburan dan acara antarabangsa dianggap teramat buruk.

Justeru, hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membawa masuk BTS atau Bangtan Boys - sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 - diyakini salah satu langkah efektif memandangkan mereka kumpulan K-pop paling berpengaruh dunia.

Ahli Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Fakhruradzi Tajuddin mendakwa sekiranya keputusan itu dimuktamadkan, ia mampu mengubah status Malaysia yang dikatakan bukan pilihan bagi penganjuran sesuatu persembahan antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia bukan sekadar mampu menarik lebih ramai ejen mahupun promoter dari luar untuk melobi acara di sini, penganjuran persembahan berskala besar juga boleh membantu memberangsangkan dan mempertingkatkan ekonomi rakyat.

Katanya, sekiranya konsert BTS berjaya, pihaknya mungkin boleh cuba membaawa masuk persembahan Radiohead dan Coldplay.

Ikuti temubual Fakhruradzi atau Radzi dengan Malaysiakini:

Apakah alasan utama PSM ingin membawa masuk BTS?

Alasan memilih BTS bukan disebabkan PSM atau Pengerusi Tony Fernandes lebih cenderung meminati K-pop. Tapi ia disebabkan BTS mempunyai nilai komersial yang tinggi disebabkan imej yang ada pada mereka. 

Apa saya maksudkan adalah kita kena tunjukkan di mata dunia bahawa zaman Malaysia Baru bahawa kita bersedia untuk menerima kedatangan artis antarabangsa. 

Apabila ada nama-nama besar seperti BTS bersetuju mengadakan acara di Malaysia, ini sekaligus menempatkan negara kita kembali berada di pasaran dunia selain menjadikan Kuala Lumpur setanding ibu kota negara Asean yang lain.

Saya juga ingin menegaskan, keputusan membawa masuk BTS bukan disebabkan KBS minta atau arahkan tetapi ianya merupakan satu keputusan kolektif dibuat oleh PSM.

Mengapa PSM menyatakan Malaysia mempunyai 'rekod hitam' daripada segi penganjuran acara antarabangsa?

Promoter mahupun penganjur tempatan sendiri pun takut hendak buat konsert di Malaysia kerana tiada kepastian. 

Ini terutama apabila mereka sudah membuat pembayaran pendahuluan atau sudah membayar artis mahupun tiket sudah dijual tetapi konsert terpaksa dibatalkan secara tiba-tiba.

Hal ini berlaku apabila terdapat mana-mana kumpulan agama atau pihak tertentu buat demonstrasi sikit, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara atau Puspal boleh terus batalkan permit mereka. 

Kita berharap agar akan ada perubahan dalam konteks ini, tidak wajar jika ada seorang dua yang buat demonstrasi, seluruh konsert pula yang dibatalkan.

Apabila timbul hal begini, ramai artis atau promoter antarabangsa cuba mengelak datang ke Malaysia. 

Ini disebabkan mereka beranggapan negara ini terlalu konservatif, mempunyai peraturan ketat dan beberapa faktor lain lagi yang membuatkan mereka berasakan Malaysia bukanlah lokasi yang perlu dijadikan pilihan.

Adakah penyelesaian boleh diperoleh sekiranya membawa BTS datang ke Malaysia?

Sudah tentu.

Sebab kumpulan ini begitu hangat di pasaran sekarang. Tetapi tumpuan tidak terhad kepada BTS sebenarnya, sekiranya mana-mana kumpulan dari Afrika misalnya mempunyai peminat besar, PSM tidak menolak untuk menjemput mereka.

Konsert Ed Sheeran di Stadium Bukit Jalil, April 2019.

Baru-baru ini kita membawa masuk penyanyi dari AS, Ed Sheeran dan hasilnya kita peroleh seramai 41,000 penonton. Ini merupakan satu kejayaan memandangkan ia konsert berbayar terbesar di Malaysia.

PSM tidak akan berhenti setakat BTS, jika berjaya. 

Selepas ini mungkin PSM boleh membawa masuk kumpulan Coldplay, ataupun Radiohead sekiranya mereka mempunyai nilai ekonomi.

Bagaimana dengan segelintir artis tempatan yang tidak bersetuju dengan pandangan KBS mahupun PSM berhubung perkara ini?

PSM bersedia menerima sebarang cadangan daripada mana-mana pihak. Ini termasuk daripada artis tempatan jika mereka ingin membuat acara di lokasi kita.

Thom Yorke, penyanyi Radiohead.

Apakah kesan positif yang boleh diperoleh dari sudut ekonomi sekiranya Malaysia membawa masuk BTS?

Ada banyak perkara kita boleh lihat. sesebuah konsert memerlukan jurutera audio, pentas dan ini juga akan melibatkan pembekal barangan atau perkhidmatan tempatan. 

Memang betul promoter dari luar akan membawa masuk kru mereka, tetapi tidak 100 peratus. Di sini kelompongan itu boleh diisi oleh rakyat kita.

Bab logistik pula misalnya, syarikat pengangkutan dan hotel penginapan akan dipenuhi, di sini kita boleh membina ekonomi dengan adanya penonton dari luar negara.

Itu tidak termasuk peluang menjana pendapatan oleh pemandu perkhidmatan Grab atau teksi. 

Begitu juga dengan peniaga kecil di luar stadium. Kesan hiliran atau kesan secara langsung ini boleh diperoleh melalui penganjuran artis antarabangsa.

Apakah mesej penting ingin disampaikan PSM berhubung isu ini yang menjadi polemik?

Kita bawa masuk BTS tanpa menggunakan wang kerajaan, kita juga tidak minta diberikan peruntukan tambahan untuk membawa masuk artis luar negara. 

Sebaliknya, kita menggunakan wang daripada penjimatan yang dilakukan, kita regenerate dan melaburkan semula untuk membawa acara antarabangsa supaya memperoleh wang yang lebih. 

Paling penting, PSM tidak menggunakan wang rakyat, orang rasional boleh faham logik di sebalik perkara ini.

Lihat Komen
ADS