Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hakim arah PU Abu jangan lepas tangan pada isteri
Diterbitkan:  May 15, 2019 6:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Mahkamah syariah hari ini memutuskan PU Abu masih berstatus suami kepada Ain ‘Afni Latif walaupun bekas perserta rancangan realiti TV itu menghantar mesej cerai kepada wanita terbabit sebelum ini.

Mesej itu dihantar Abu kepada Ain 'Afni melalui aplikasi WhatsApp namun hakim berpendapat ia tidak sah.

Hakim Mahkamah Syariah Kelang, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar dalam penghakiman berkata, keputusan status lafaz cerai Abu itu dibuat selepas personaliti TV itu bersumpah dia tidak berniat semasa menghantarnya.

Semasa memberitahu keputusannya Mohd Nurulazhar turut memberi peringatan kepada Abu agar tidak berlepas tangan daripada tugas dan tanggungjawab sebagai suami.

“Orang mengandung ini lain perasaan mereka dan jangan lepas tangan,” kata Mohd Nurulazhar seperti dipetik K! Online.

Difahamkan, hari ini merupakan hari lahir Ain ‘Afini yang sedang hamil tujuh bulan.

Pasangan itu turut diperintahkan mahkamah untuk mendaftar lafaz rujuk cerai yang dibuat pada 23 Februari lalu selepas mendapati ia sah.

Permohonan ditolak hakim

Ain ‘Afini, 23, yang tidak diwakili peguam memberitahu prosiding tersebut mereka telah bercerai pada 28 Januari tahun ini dengan kebenaran mahkamah.

Dia diceraikan dengan talak satu selepas mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos tahun lalu.

Mereka melafaz rujuk dengan niat dan melafazkan berbaik semula pada pukul 11 pagi di rumah Abu di Selayang Baru pada 23 Februari lalu.

Peserta rancangan Pencetus Ummah itu didapati menghantar lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp pada jam 11.44 pagi 13 Mac lalu iaitu seminggu selepas dia meninggalkan Ain ‘Afini.

“Saya masih sayangkan isteri dan ingin hidup bersamanya. Saya juga bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungnya.

“Mengakui kesilapan meninggalkan isteri atas sebab tertentu yang tidak boleh dihuraikan. Saya juga memohon maaf kepada ibu bapa mertua,” katanya.

Sebelum prosiding bermula, Abu memohon kepada mahkamah supaya menghalang pihak media dan orang awam yang berada di galeri daripada mendengar perbicaraan atas alasan ia sensitif selain mengaibkan.

"Saya tidak mahu ada gelombang kedua viral berhubung kes rumah tangga (kami) yang sebelum ini memberikan kesan terhadap kami berdua," katanya.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak Mohd Nurulazhar atas alasan tidak relevan.

Lihat Komen
ADS