Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Orang lain cerai, Ustaz Hamadi pula kena
Diterbitkan:  May 17, 2019 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Pelakon Azhan Rani meluahkan kekesalan apabila isu perceraian rumah tangga penyanyi Aliff Aziz dikaitkan dengan namanya tanpa sebab yang relevan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Azhan menggesa agar warganet tidak kemaruk untuk bersorak mengenai sesuatu isu sebaliknya menjaga sensitiviti golongan selebriti yang sedang dilanda musibah seperti perceraian.

“Sebabnya, kena beringat juga kerana segalanya itu adalah peringatan untuk diri sendiri. Kita tak tahu apa pula bentuk ujian kita nanti.

“Dalam hal sebegini, harus ingat bahawa apa saja boleh terkena kepada kita atau keluarga sendiri. Jangan bila dah kena nanti, baru tahu tak kelakar lagi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Azhan popular dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 memberitahu, sejak kebelakangan ini dia sering dikaitkan dengan sebarang  kisah sensasi orang lain.

“Individu lain yang buat, namun saya tetap kena kaitkan. Foto saya disunting sesuka hati oleh warganet yang nak 'membawang' (mengumpat).

“Mereka sangat bangga kalau dapat isi kandungan baru yang boleh tular dan menaikkan jumlah ‘likes’ atau perkongsian (di media sosial),” katanya.

Terbaru, dalam isu perceraian Aliff dan Bella Astillah, ramai warganet sengaja menanda (tag) akaun media sosial Azhan dalam ruangan komen laporan media berhubung isu berkenaan.

“Saya tak ada kena-mengena langsung dalam isu mereka. Jadi, tak perlu tag pada saya pun.

“Namun, saya dapat bayangkan situasi dihadapi Bella, sudah tentu dia tak sempat nak bernafas sebab kena tag tak henti-henti.

“Apapun, dari sudut lain yang saya nampak itulah amaran keras masyarakat untuk golongan selebriti seperti saya.

“Kalau tak nak terjebak, jangan bagi peluang jadi bahan tak elok pada warganet untuk 'membawang',” katanya.

Namun, pada masa sama, Azhan juga berkata, dia kesal apabila terdapat golongan selebriti yang dilihat sengaja mengundang perhatian pengguna media sosial dengan meminta ‘dibawangkan.’

Lihat Komen
ADS