Pelawak Ebby Yus yang kini mengalami masalah kesihatan tersentuh dengan kesudian dua individu termasuk seorang wanita untuk mendermakan buah pinggang kepadany.
Menurut Ebby, keprihatinan dihulurkan kepadanya diibaratkan rezeki jatuh melimpah yang sukar diungkap dengan kata-kata.
“Sukar untuk saya ungkap perasaan ini... Bukan perkara main-main. Tawaran yang dibuat membabitkan organ dalaman yang sangat berharga.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana dikelilingi mereka yang baik hati seperti ini,” katanya dipetik BH Online.
Ebby berdepan sakit buah pinggang tahap tiga selain jantung dan gastrik kronik.
Bagaimanapun, jelas Ebby, dia setakat ini tidak perlu menjalani rawatan hemodialisis atau mendapatkan buah pinggang baru.
Diminta mengulas identiti wanita berhati mulia itu, pemilik nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid itu berkata bibit perkenalan mereka bermula di rumahnya.
“Saya mula berkenalan dengan wanita terbabit ketika dia datang memasang kemudahan WiFi di rumah saya.
“Ketika itu, saya belum sakit lagi. Tiba-tiba, seminggu sebelum Ramadan, dia melayangkan mesej dan bertanya mengenai jenis darah saya,” katanya.
Selepas merujuk kepada doktor, Ebby berkata dia dimaklumkan keadaan dirinya sudah beransur baik dan terkawal.
“Doktor menjelaskan tahap kesihatan saya belum kronik sehingga perlu buah pinggang baru... Alhamdulillah,” katanya.
Ebby bersyukur kesihatannya semakin stabil meskipun perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pada masa sama, Ebby memaklumkan dia hanya akan kembali beraksi sebagai pelakon sekiranya kesihatannya mengizinkan.
Katanya, dia bersyukur hingga kini terdapat banyak pihak masih memberi tawaran berlakon kepadanya.
“Tawaran masih ada, cuma saya harus memilih mengikut tahap kekuatan tubuh badan.
“Sekiranya watak itu tidak dapat dibawa disebabkan terbatas dengan masalah kesihatan, lebih baik ia diberi kepada mereka yang mempunyai kudrat.
“Saya pernah menjadi pengarah. Saya faham soal kepuasan apabila sesetengah watak itu tidak dapat dipenuhi seperti yang dibayangkan,” katanya.
