Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyampai radio Suria FM, DJ Lin meminta ibu tunggal menjadikan jutawan kosmetik arwah Faziani Rohban Ahmad sebagai sumber inspirasi.

Tambahnya, usaha keras arwah Faziani dalam mengembangkan empayar kosmetik sewaktu menjadi ibu tunggal perlu diambil sebagai contoh untuk berjaya.

“Jangan anggap kalau jadi ibu tunggal, masa depan terus gelap. Lihat arwah (Faziani) bagaimana dia susah dulu waktu jadi ibu tunggal.

“Arwah (Faziani) usaha keras sewaktu dia menjadi ibu tunggal untuk sara anak-anaknya,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama Suria FM di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Faziani Rohban Ahmad 

Pada 18 Mei lalu, Faziani maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan).

Jurucakap polis Nong Chik berkata mangsa dipercayai melanggar sebuah lori rosak yang berhenti di tepi Jalan Pattani-Hatyai, Kg Donrak, Nong Chik.

Faziani meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim digegaskan ke Hospital Nong Chik dan dilaporkan stabil.

DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Abdul Majid, menasihati ibu tunggal supaya terus berusaha dan tidak putus harapan setelah ditinggalkan suami.

“Jangan kita (ibu tunggal) yang diceraikan, dianiayai dan dizalimi suami ini terus nak putus asa dan rasa tidak boleh hidup tanpa lelaki.

“Kalau arwah (Faziani) boleh usaha sewaktu dia susah dulu, kita (ibu tunggal) juga boleh,” katanya.

DJ Lin juga memberitahu atas usaha keras arwah Faziani, beliau dapat mengembangkan bisnes kosmetiknya sehingga ke Indonesia.

“Arwah (Faziani) dulu cerita dekat saya yang dia mula bisnes dengan RM2 sahaja sewaktu menjadi ibu tunggal.

“Sekarang dia (Faziani) kahwin balik dan sudah menjadi jutawan sampai bisnes pun meluas ke Indonesia,” katanya.

Arwah minta lagu Rossa

Selain itu, penyampai radio dalam segmen Suria Cinta sempat berkongsi kenangan manis bersama Faziani.

“Arwah (Faziani) kalau tengah dengar radio waktu segmen saya, dia akan minta saya putarkan lagu Rossa.

“Dia suka dengar lagu Rossa, kalau saya putarkan lagu itu, dia gembira,” katanya yang mengakui sebak atas pemergian Faziani.

Kata DJ Lin, dia bersyukur kerana dapat mengenali Faziani dan menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu anugerah terindah.

“Kehilangan Faziani beri impak besar sebab sejujurnya saya memang menghormati arwah (Faziani).

“Arwah (Faziani) sangat murah hati dan baik sebab itu Allah ambilnya awal,” katanya.

Lihat Komen
ADS