Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Enggan membazir, Maya Karin mengaku Aidilfitri kali ini merupakan tahun keempat dia tidak mengeluarkan wang untuk membeli baju baru bagi menyambut perayaan berkenaan.

Kata Maya, bukanlah keperluan baginya untuk sentiasa berpakaian baru pada hari raya sedangkan dia boleh mengulang pakai baju sedia ada yang masih elok.

"Sama saja seperti tahun-tahun sebelum ni. Saya dah empat atau lima tahun tak beli baju raya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah pelakon 1957: Hati Malaya itu sikap sesetengah orang yang sanggup berhabis-habisan untuk beraya sakan hanya akan menguntungkan segelintir peniaga yang gemar mengambil kesempatan semasa musim perayaan.

"Peniaga akan bertambah kaya bila raya," katanya.

Kata Maya wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lebih bermanfaat berbanding membeli sepasang baju raya ketika pakaian yang ada masih boleh digunakan.

"Saya tak mahu keluarkan duit sampai RM700 hingga RM800 misalnya semata-mata untuk baju raya. Ia suatu pembaziran.

“Lebih baik misalnya kita menabung untuk masa depan, menyimpan bagi tujuan kesihatan, melabur untuk hartanah atau menggunakan wang bagi memulihara alam sekitar," katanya.

Mengulas lanjut, Maya, 39, berkata disebabkan berlaku pembaziran, matlamat sebenar sambutan Aidilfitri sudah hilang.

“Agama menuntut kita menyambut perayaan bersebab tapi kebaikannya dah tak ada kerana kita asyik berbelanja sakan.

“Kita macam berkisahkan baju raya yang mahal-mahal saja, sedangkan sepatutnya raya ialah masa untuk kita membahagiakan orang lain dan keluarga," katanya.

Lihat Komen
ADS