Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib tak lupa pernah hidup susah
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 11:36 PM
Dikemaskini: 3:38 PM

Meskipun sudah bergelar selebriti, pelawak Shuib Sepahtu enggan melupakan asal usul dirinya yang membesar dengan penuh kesusahan.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu hantaran di Instagram yang memaparkan dia bergambar berlatar belakang rumah tempatnya membesar.

Turut serta ialah isteri, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dan tiga anaknya, Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 6, dan Ariq Matin, 3.

“Dari umur lapan bulan sampai umur 17 tahun, inilah rumah tempat saya dibesarkan, tiap-tiap petang ambil air pakai baldi, mandi di parit, tandas di luar rumah, tidur pakai kelambu, lampu pakai pelita.

“Tak ada motor, yang ada cuma basikal," katanya.

Dia juga berkata hanya mendapat wang saku 50 sen untuk ke sekolah dan sering menangkap belut pada hujung minggu untuk dijual bagi menampung perbelanjaan.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, pengalaman membesar di rumah papan itulah yang mengajarnya erti kehidupan.

"Belajar erti susah sebenar, belajar menghargai setiap apa yang ada. Belajar bersyukur dengan nikmat Allah," kata bekas penyampai radio Sinar FM itu.

Dia turut mennyatakan harapan agar isteri dan anak-anaknya sentiasa mensyukuri rezeki kurniaan Tuhan pada masa sama sentiasa bersedia menghadapi ujian.

"...Sentiasa bersyukur dengan apa saja ketentuan Allah. Bersedia dengan setiap ujian Allah, susah juga ujian, senang juga ujian,” katanya sambil mengakhiri hantaran itu dengan tanda pagar #pesananuntukdirisendiri.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS