Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hajat Syafiq beraya dengan Saleem tak kesampaian

Ada impian yang dipendam penyanyi Syafiq Farhain sempena kedatangan 1 Syawal baru-baru ini - dan ia ditakdirkan tidak kesampaian.

Hajat penyanyi Sayang Maafkan Aku itu berkata dia teringin benar mahu menyambut lebaran bersama bapanya, Saleem, namun ia tidak kesampaian.

Saleem yang terkenal dengan suara uniknya itu meninggal dunia pada 14 Okt tahun lalu kesan kecederaan dialami daripada kemalangan jalan raya 22 hari sebelumnya di Bandar Mahkota Cheras.

Kata Syafiq, sehingga kini tiada ingatan atau kenangan dia meraikan hari raya bersama bapanya.

“Jujur saya cakap, saya tak ingat langsung kenangan sambut raya bersama arwah abah (Saleem) kerana semenjak kecil saya dah terbiasa beraya dengan ibu.

“Jadi tahun ni saya ingat hendak beraya sekali, namun apakan daya, tuhan lebih sayang abah (Saleem),” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syafiq - atau nama penuhnya Nursyafiq Farhain A M Salim ialah anak keempat kepada arwah Saleem hasil pernikahan beliau dengan Juwita. Dia dilahirkan kira-kira 25 tahun lalu.

Dua kerja satu masa

Dia bertugas sebagai salah seorang anggota bomba dan pernah menjadi naib juara program realiti TV, Big Stage.

Selain Sayang Maafkan Aku, Syafiq juga menyanyikan lagu Aku Jatuh Cinta dan Manis Manis Cinta.

Kata Syafiq dia berhasrat untuk menziarahi pusara arwah ayahnya apabila pulang ke kampung di Terengganu tidak lama lagi.

Sementara itu Syafiq juga memberitahu kerjaya sebagai anggota bomba tidak sesekali menggangu karier muziknya.

“Saya masih seorang ahli bomba dan bekerja mengikut jam yang ditetapkan, terkadang ada juga saya kena kerja lebih masa.

“Saya cuba untuk memberi masa pada karier muzik dan alhamdullilah saya tidak pernah terbeban untuk buat dua kerja pada satu masa,” katanya.

Lihat Komen
ADS