Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pelakon Beto Kusyairy mengakui terkilan dan sedih di saat ada orang bersungguh-sungguh bertanya berkenaan anak.

Meskipun faham pertanyaan itu diajukan untuk memulakan bicara, Beto berkata hatinya akan terusik setiap kali diajukan soalan sama berkali-kali.

"Umum tahu saya masih belum ada cahaya mata. Syawal kali ini ketika beraya masih ada yang tanya tentang itu.

"Saya dan isteri faham kalau mereka hanya nak mulakan perbualan tapi kalau sudah sepuluh orang yang tanya tentu akan ada rasa kecil hati," katanya.

Kata pelakon Bisik pada Langit itu, dia dan isterinya, Tisha Shahar, sudah lama reda dengan ketentuan Tuhan perihal anak.

"Jika Tuhan nak bagi adalah. Kami tak kisah, keluarga masing-masing juga tak kisah. Kami juga belum terfikir nak ambil anak angkat," katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran telefilem dan novel Sesekali di Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu.

Telefilem yang mendapat arahan Hisyamudin Ahmad itu mengisahkan pengorbanan seorang bapa bernama Amrin - yang dilakonkan Beto - membesarkan anaknya Kemboja berusia enam tahun.

Sesekali diterbitkan sempena sambutan Hari Bapa yang jatuh pada 16 Jun ini. Ia diilhamkan dariapda sebuah puisi berjudul sama karya Siti Zaleha Hashim yang diterbitkan DBP pada 2006.

Adaptasi drama diterbitkan Unit Drama TV RTM dengan kerjasama DBP. Selain drama, ia juga dijadikan novel hasil nukilan Lily Haslina Nasir.

Mengulas lakonannya dalam telefilem itu, Beto, 39, mengaku tidak sukar untuk menghidupkan watak seorang bapa walau dia sendiri belum dikurniakan zuriat setelah 11 tahun berkahwin.

Baginya, persediaan untuk menjiwai watak itu dipermudahkan apabila dia sendiri mesra dengan anak saudara mahupun anak kenalan rapatnya.

“Ini adalah keistimewaan diberikan-Nya. Saya ada ramai anak buah atau anak sahabat yang begitu rapat dengan saya. Ada segelintir yang memanggil saya dengan gelaran bapa.

“Justeru tiada masalah untuk saya cetuskan perasaan sama sewaktu penggambaran di set,” katanya.

Makin mahir kawal emosi

Sesekali turut dibintangi Azhan Rani, Noorkhiriah, Hariry Jalil, Puteri Rafasya dan Shazman Isaac. Ia ditayangkan di saluran TV2 pada pukul 9.30 malam ini.

Sementara itu, Beto turut memuji disiplin yang ditunjukkan dua pelakon kanak-kanak - Puteri Rafasya dan Isaac Shahril - sepanjang penggambaran yang menurutnya telah membantu dirinya menjayakan watak Amrin.

“Saya terkejut sebab disiplin dan fokus mereka lebih tinggi daripada sejumlah pelakon lain. Ini kali pertama saya mengenali mereka," katanya.

Ditanya tentang cara mengawal emosi ketika membawa watak bapa, pelakon Jiwa Taiko itu berkata dia semakin mahir untuk memisahkan lakonan dan peribadi.

“Saya ajar diri untuk tak libatkan perkara peribadi dengan kerja, kecuali perasaan itu perlu untuk sesuatu watak,” katanya.

Lihat Komen
ADS