Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah menempelak Pencetus Ummah (PU) Merico ekoran sikapnya yang terlalu mudah melabel seseorang atau parti tidak digemari dengan gelaran munafik.

Merujuk kepada sajak dideklamasikan Merico dalam muktamar Pemuda PAS di Kuantan semalam, Aishah menyindir Merico “mengandaikan” dirinya sudah layak masuk ke syurga.

“Senang-senang label orang munafik, seolah-olah dia telah confirm masuk syurga,” katanya.

Aishah berkata demikian ketika berkongsi hantaran Senator Amanah Aiman Athirah Al Jundi: “Siapa Munafik?” melalui akaun Facebook miliknya malam tadi.

Merico Achenk Abdullah

Turut mengiringi hantaran itu adalah empat laporan berita terdahulu yang memaparkan bagaimana perubahan sikap PAS yang pada awal tidak mahu menjadi sekutu Umno.

Aishah sebelum ini pernah bergiat bersama PAS.

Menurut Aishah, 54, tiada manusia tahu bagaimana amalan masing-masing bakal dihisab, justeru, tiada sesiapa wajar berasakan diri lebih mulia daripada orang lain.

“Kita semua tak tahu bagaimana pengakhiran kita, janganlah perasanlah ‘uolls’ (kamu) lebih baik dari orang lain,” katanya.

Merico - atau nama penuhnya Merico Achenk Abdullah - dalam selingan Muktamar Pemuda PAS semalam memanjatkan rasa syukur kerana Allah “menapis darah-darah munafik” daripada PAS pada 2015.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, darah munafik sudah ditapis yang dimaksudkan Merico dipercayai merujuk kepada bekas anggota PAS yang beramai-ramai keluar parti itu selepas 2015.

Pada masa sama, dalam bacaannya itu, Merico menyifatkan kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai “merosak agama”.

Ketika penyajak itu mendeklamasikan sajaknya, layar di kiri dan kanan pentas pula memaparkan beberapa gambar pemimpin PH.

Ucapan terakhir Mohamad dalam muktamar PAS pada 2015, sebelum memimpin ramai pemimpinnya membentuk parti baru Amanah.

Antaranya ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; veteran DAP, Lim Kit Siang, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof; anggota parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; selain aktivis masyarakat dan bekas pengerusi Bersih, S Ambiga.

Menurut penyanyi lagu Tiada Duka itu, sebagai seseorang yang mengamalkan ajaran Islam, Merico sepatutnya tidak menjatuh hukum kepada mana-mana Muslimin.

“Siapa ‘uolls’ semua nak mengambil-alih hak dan kerja Allah untuk menghukum...Who do you think you are?” katanya.